MAS Sambut Kedatangan Pesawat Baharu, Boeing 737-8 Di KLIA
SEPANG — Syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAS) memaklumkan menyambut kedatangan pesawat baharu jenis Boeing 737-8 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Perkara itu dimaklumkan oleh syarikat berkenaan dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi hari ini.
“Boeing 737-8 baharu. Selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” maklum kenyataan tersebut.
Sementara itu, Syarikat Boeing Airplanes dalam satu kenyataan di platform X juga memberitahu perkara berkenaan.
Jelas Boeing Airplanes, kapal berkenaan didatangkan dengan reka bentuk, teknologi yang lebih moden dan selesa.
“Menyambut era baharu keselesaan, reka bentuk dan kecekapan bersama @MAS!
“Malaysia Airlines menerima pesawat 737-8 pertamanya hari ini, dihiasi dengan livery baharu yang menarik dan motif songket. Satu penghormatan kepada negara yang berbilang warisan budaya,” tulis kenyataan tersebut.
Sebelum ini, pada Julai lalu, Malaysia Airlines Berhad (MAB) dalam satu kenyataan mengumumkan bakal melancarkan pesawat baharu mereka, Boeing 737-8.
Pesawat yang dinanti-nantikan itu bakal mempamerkan pelbagai peningkatan ciri-ciri yang terdapat dalam sebahagian penerbangan Malaysia.
Menurut MAB, ia merupakan pelan pemodenan armada Kumpulan (MAG). Pesawat pertama 737-8 itu dijadualkan akan diterima pada Ogos 2023.
Pesawat itu merangkumi pemodenan dan aspirasi warisan Malaysia dengan reka bentuk livery dan dalaman kabin yang menarik. Ia bertujuan untuk memberikan pengalaman secara menyeluruh terhadap pelanggan.
Logo Wau
“Livery pesawat 737-8 baharu telah mengalami perubahan yang ketara, mewakili visi dan aspirasi Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan nasional.
“Logo ikonik ‘wau’ melambangkan kebanggaan Malaysia telah disusun semula dengan penuh seni bagi mencerminkan keazaman syarikat penerbangan yang optimis dan berusaha untuk bergerak ke hadapan.
“Dihiasi dengan songket yang indah dalam warna emas yang elegan, logo itu menjadi tanda penghormatan terhadap warisan Malaysia.
“Ia juga menggariskan komitmen teguh syarikat penerbangan itu untuk mewakili negara dengan bangga dan semangat progresifnya,” maklum MAB dalam satu kenyataan.
Sumber: X Boeing Airplanes, @ikhwanaffandi via Malaysia Airlines