GEORGE TOWN, 10 Mac (Bernama) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang menahan 14 pendatang asing warga Indonesia yang cuba masuk kedalam negarasecara haram menerusi laluan laut di kedudukan 2.9 batu nautical barat daya Sungai Pinang, di sini semalam.
Pengarahnya Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata dalam kejadian semalam pasukan Maritim yang sedang menjalankan rondaan OP PERTIWI sekitar kawaszn itu telah menerima maklumat daripada komuniti nelayan berhubung sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada pukul 9.30 pagi.
“Bertindak hasil maklumat, bot Maritim menuju ke arah bot kayu berkenaan dan sebaik menghampirinya empat orang yang berada dalam bot itu telah bertindak terjun ke dalam laut untuk melarikan diri, namun tindakan pantas kami telah berjaya menyelamatkan mereka.
“Pemeriksaan dalam bot itu mendapati terdapat 14 lelaki termasuk empat yang cuba melarikan diri, kesemuanya warga Indonesia berusia 21 hingga 51 tahun. dan mereka dalam perjalanan dari pangkalan daerah Seruway, Acheh cuba masuk ke Malaysia melalui jalan laut yang tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya semua mereka ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63 iaitu kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan migran dan memasuki Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan.
Sumber: BERNAMA