ALOR SETAR, 26 Jan (Bernama) — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) menggagalkan cubaan membawa masuk ayam sejuk beku dianggar bernilai RM495,608 yang tidak mematuhi syarat import di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, dekat sini, Ahad lepas.
Pengarah MAQIS negeri Kedah, Lily Rosalind Paul berkata barangan berkenaan dikesan hasil pemeriksaan rutin pihaknya ke atas sebuah lori kontena yang menemukan 5,161 kotak mengandungi keratan ayam sejuk beku seberat 61,932 kilogram, pada 4 petang.
“Ayam sejuk beku ini cuba dibawa masuk dari Thailand dan tidak mematuhi syarat import serta dipercayai datang dari pusat penyembelihan yang tidak diiktiraf dan meragukan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, penguatkuasaan dilakukan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau keduanya sekali.
Lily Rosalind berkata pada hari sama MAQIS turut merampas benih cendawan dan produk sosej bernilai RM854 yang cuba dibawa masuk ke negara ini tanpa permit sah selepas menahan sebuah lori di ICQS Bukit Kayu Hitam, pada 6 petang.
Menurutnya, rampasan dilakukan selepas pemandu lori berkenaan gagal mengemukakan permit import yang sah yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
“MAQIS akan meneruskan tindakan penguatkuasaan undang-undang di semua pintu masuk negara agar keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan aspek biosekuriti negara terjamin,” katanya.
— BERNAMA