BUTTERWORTH, 30 Mei (Bernama) — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang, merampas 59.163 meter kubik (MTQ) kayu spesis Tasmanian Oak Timber bernilai RM361,769.70, kerana didapati gagal mematuhi syarat import Pelabuhan Pengkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini dua hari lepas.
Pengarahnya Noriah Dahlan berkata, pemeriksaan rutin di tapak pemeriksaan kontena NBCT, pihak MAQIS telah menahan dua buah kontena dari Australia pada 4.30 petang, dan mendapati semua kayu tersebut gagal mematuhi syarat import ditetapkan.
“Kesemua dagangan itu dirampas untuk siasatan lanjut, kerana tidak mematuhi syarat import yang telah dinyatakan pada permit import yang diluluskan oleh Jabatan MAQIS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kegagalan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan pada syarat permit import yang sah, boleh disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
Noriah berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan di semua pintu masuk negara bagi memastikan komoditi pertanian, ikan dan haiwan, yang masuk atau keluar dari negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Sumber: BERNAMA