
Manuel Hidalgo Calon Baru Naturalisasi Harimau Malaya
Pemain Terbaik Perlawanan Piala FA 2025, Manuel Hidalgo, memberi bayangan berkemungkinan besar bakal didaftarkan sebagai pemain tempatan menjelang 2026 selepas hampir lima tahun beraksi sebagai pemain import di Malaysia.
Sensasi pemain kelahiran Argentina itu memainkan peranan cukup penting tatkala membelah lautan pertahanan Sabah, dan sering mengatur gerakan berbahaya dengan gelecekan dan kepintarannya.
Malah, sebelum perlawanan berakhir, bekas pemain Kuala Lumpur (KL) City itu turut mencatatkan namanya sebagai penjaring gol terakhir Harimau Selatan. Hidalgo sekali gus membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala FA buat kali keempat berturut-turut.
Dalam temu bual bersama Astro Arena, Hidalgo menyuarakan hasrat untuk terus merebut tempat dalam kesebelasan utama kendalian Xisco Munoz.
Pada masa sama, beliau turut memberi bayangan istimewa berikutan statusnya yang semakin dikenali dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).
“Saya sangat gembira jika saya dipilih dalam kesebelasan utama. Saya tahu, saya sedang bersaing dengan beberapa pemain hebat dalam skuad.
“Tahun hadapan, berkemungkinan saya akan mendaftar selaku pemain lokal, dan menerima pasport berikutan tempoh lima tahun saya di Malaysia. Saya harus bersabar,” katanya.
Ketika ini, Hidalgo berusia 26 tahun. Walaupun memiliki susuk tubuh yang kecil, kepantasan dan kelincahannya menjadikannya ancaman berbahaya di posisi sayap.
Untuk info, Hidalgo memulakan kariernya dalam Liga Super Malaysia pada 2021 bersama Sri Pahang sebelum menyertai Kedah pada 2023.
BACA: Sukan SEA 2025: Pearly-Thinaah Rangkul Emas Beregu Badminton Wanita
BACA: Sukan SEA 2025: Malaysia Rangkul Emas Acara Sepak Takraw Regu Berpasukan Lelaki
Sumber: Stadium Astro