mangsa gempa terperangkap
Gambar: Twitter Muhammad Smiry

Mangsa Gempa Terperangkap Minta Air Untuk Dirikan Solat

Iqbal Yasir

Mangsa Gempa Terperangkap Minta Air Untuk Dirikan Solat

KAHRAMANMARAS — Sejak gempa bumi yang berlaku pada Isnin lalu, usaha menyelamat masih diteruskan untuk mencari mangsa yang terperangkap dalam runtuhan di Turkiye dan Syria.

Misi menyelamat itu telah dibantu oleh pelbagai agensi luar yang bertungkus-lumus untuk mencari dan membawa keluar mangsa yang terperangkap.

Dalam operasi itu, pelbagai momen dan kisah yang menyayat hati menjadi bualan di media sosial.

Terbaru, tular rakaman yang mendedahkan seorang lelaki tua terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Video yang dimuatnaik oleh seorang wartawan Palestin, Muhammad Smiry di laman Twitter itu mendedahkan keadaan yang dialami oleh mangsa.

Dakwa Smiry, lelaki berkenaan dipercayai meminta air untuk menunaikan kewajipan solat.

“Seorang lelaki tua mahukan air untuk berwuduk agar dia boleh menunaikan solat,” tulisnya di platform berkenaan.

Tambah wartawan itu, lelaki berkenaan tidak mahu meninggalkan solat walaupun berada dalam keadaan begitu.

Susulan hantaran itu, ia telah mendapat pelbagai reaksi dan komen daripada pengguna media sosial.

Untuk makluman, ciapan tersebut telah memperolehi lebih 500,000 ‘Tontonan’ dan lebih 11,000 tanda ‘Suka’ sewaktu artikel ini ditulis.

Sehingga kini, jumlah angka korban dalam dua gempa bumi yang berlaku di selatan negara itu telah melebihi 12,000 orang, lapor Bernama.

Agensi Pengurusan Bencana (AFAD) Turkiye memaklumkan seramai 12,391 orang terbunuh manakala 62,914 orang cedera dalam bencana yang berlaku pada Isnin lalu.

BACA JUGA: Suasana Di Turkiye Kini Tak Ubah Seperti Di Medan Perang

Terdahulu, satu gempa bumi kuat direkodkan berlaku di Gaziantep, Selatan Turkiye pada awal pagi Isnin waktu tempatan.

Difahamkan gempa bermagnitud 7.8 itu telah menyebabkan pelbagai kemusnahan harta benda dan infrastruktur. Ia dilaporkan berlaku pada jam 4.17 pagi waktu tempatan dengan kedalaman kira-kira 17.9 kilometer bawah laut.

Gegaran kuat itu turut dirasai di negara lain termasuk Syria, Kepulauan Cyprus dan Mesir.

Ia merupakan salah satu gempa bumi yang paling teruk pernah direkodkan di rantau itu dalam tempoh seabad.

Kali terakhir gempa bumi paling dahsyat berlaku di negara itu adalah di Duzce, Turkiye pada tahun 1999. Gegeran sekuat 7.4 magnitud telah mengorbankan lebih 17,000 orang termasuk 1,000 di Istanbul.

Sumber: Twitter @MuhammadSmiry