Gambar via Bernama

Bantuan Bernilai Hampir RM10,000 Bakal Diterima Mangsa Banjir Kelantan & Terengganu – Perdana Menteri

Eyla Azri

Penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu akan menerima bantuan sehingga RM10,000, sepertimana diumumkan kerajaan sebelum ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memetik Astro Awani.

Perkara itu diumumkan beliau semasa melakukan lawatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Batu 23, Hulu Terengganu pada Rabu.

“Apa yang kita beri kepada mangsa banjir sebelum ini pada gelombang pertama, kita akan bagi sama di Terengganu dan Kelantan ini. Maksudnya sama, bantuan wang ihsan RM1,000 selain RM2,500 untuk membeli barangan keperluan rumah dan untuk baiki rumah serta kenderaan (dan sebagainya),” katanya memetik Astro Awani.

Jelas beliau, sekiranya dicampur semua bentuk bantuan berkenaan termasuk baucar pembelian barangan, setiap isi rumah akan menerima nilai mencecah hampir RM10,000.

Setakat jam 2 petang tadi, sejumlah 15,317 orang daripada 4,011 keluarga dipindahkan ke 68 PPS di daerah Kemaman, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Setiu.

Difahamkan, Hulu Terengganu merupakan daerah paling teruk terjejas akibat banjir sehingga menyebabkan kerosakan harta benda yang serius.

Beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah dinaiki air, turut terlibat kali ini.

Sumber: Astro Awani