Kota Bharu : Jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 198 orang sehingga pukul 4 petang ini berbanding 261 orang pada pukul 1 tengahari tadi.
Aplikasi InfoBencanaJKM menunjukkan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka bagi menempatkan 155 mangsa di Tanah Merah membabitkan 39 orang di Sekolah Kebangsaan (SK) Kelewek, dua orang di SK Bukit Panau, 23 orang di SK Alor Pasir, 11 orang di SK Kulim, 33 orang di Dewan Serbaguna Kampung Padang Kijang dan baki 47 orang lagi di Masjid Mukim Kuala Kepok.
Sementara itu hanya satu PPS masih dibuka di Kuala Krai iaitu di Pejabat Veterinar yang menempatkan enam mangsa manakala di Machang pula mangsa yang dipindahkan kekal 37 orang yang ditempatkan di SK Pak Roman.
Sementara itu laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di http://publicinfobanjir.water.gov.my menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas telah menurun ke paras amaran iaitu 8.9 meter (amaran 8 meter) berbanding paras bahaya 9.01 meter yang dicatatkan tengahari tadi.
Sungai Lebir di Tualang pula melebihi paras amaran iaitu 31.78 meter (amaran 31 meter) manakala Sungai Kelantan di Kuala Krai dan di Kusial, Tanah Merah masing-masing melebihi paras berjaga-jaga iaitu 21.39 meter (berjaga-jaga 20 meter) dan 13.46 meter (berjaga-jaga 12 meter).
Hujan masih berterusan di Kelantan dengan sesekali lebat namun belum ada sebarang laluan utama ditutup serta tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.
Sumber : Bernama