manchester united empat rekod
Gambar: AFP

Manchester United Cipta Empat Rekod Serentak

Fazidi

Manchester United Cipta Empat Rekod Serentak

Episod duka terus menghantui peminat Manchester United (MU) di seluruh dunia apabila terpaksa melihat satu lagi kekalahan dialami oleh pasukan kesayangan mereka.

Di bawah bimbingan jurulatih baharu, Ruben Amorim, kebangkitan yang diharap-harapkan terus tidak kunjung tiba selepas MU tunduk 2-0 kepada Newcastle dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung pagi tadi.

Lebih perit, The Red Devils tersungkur di Old Trafford, gelanggang keramat yang digelar sebagai Theatre of Dreams oleh komuniti bola sepak dunia.

MU seolah-olah tidak bersedia dalam perlawanan ini apabila ketinggalan seawal minit keempat menerusi tandukan Alexander Isak.

Isak dengan mudah menanduk masuk bola hantaran Lewis Hall, menewaskan Andre Onana tanpa diasak oleh mana-mana pertahanan MU ketika itu.

Manchester United cipta empat rekod yang tidak diinginkan peminat

Manakala gol kedua Newcastle pula dijaringkan oleh Joelinton pada minit ke-18, juga menerusi situasi yang hampir sama denga gol pertama mereka.

Kali ini, gol hantaran Anthony Gordon singgah di kepala Joelinton yang mudah menidakkan cabaran diberikan oleh Lisandro Martinez, pertahanan yang digelar The Butcher, untuk gol kedua Newcastle.

Namun yang ‘menariknya’ (bukan kepada peminat MU), kekalahan pagi tadi juga menyaksikan kelab penghuni tangga ke-14 EPL itu turut mencipta empat rekod yang mengejutkan.

Rekod-rekod berkenaan disenaraikan oleh Squawka, iaitu sebuah platform yang analitik yang menyediakan data, statistik dan visual bola sepak secara terperinci.

Menurut Squawka, ini merupakan kali pertama MU mencatatkan tiga kekalahan berturut-turut di gelanggang sendiri, kali terakhir pada 1979.

Selain itu, kekalahan pagi tadi juga menyaksikan buat julung kalinya kelab berkenaan kalah lima perlawanan liga dalam bulan yang sama (kalendar sebulan), kali terakhir direkodkan pada 1962.

Perlawanan pertama di tahun 2025 menentang Liverpool

Seterusnya, ini juga merupakan kali pertama MU kalah perlawanan terakhir liga (kalendar setahun) untuk dua tahun berturut-turut, rekod yang kali terakhir dicipta pada 1985 dan 1986.

Manakala rekod keempat yang tercipta pagi tadi adalah buat kali pertama MU mengakhiri setengah musim liga di kedudukan terendah mereka, di tangga ke-14 sebelum melangkah ke tahun baru.

Kali terakhir MU mencatatkan rekod serupa adalah pada 1989.

Dengan empat rekod tidak diinginkan di atas, MU pastinya mahu segera bangkit dalam perlawanan akan datang.

Kebangkitan itu boleh ditunjukkan seawal perlawanan pertama mereka di tahun 2025 menentang pendahulu liga, Liverpool di Anfield, 6 Januari ini.

BACA: Lama Bertarung Sakit, AbuRoy ‘Pergi’ Selamanya

Sumber: Squawka