
Man United Di Landasan Betul, Ada Pengurus Hebat – Jurulatih Grimsby Town
Pengurus Grimsby Town, David Artell percaya bahawa Manchester United ‘berada di landasan yang betul’ di bawah kendalian Ruben Amorim walaupun mereka tersingkir dari Piala Carabao pada malam Rabu.
Ditemui selepas perlawanan, David berkata pasukannya juga telah bekerja keras untuk mencapai kemenangan itu walaupun terpaksa berhadapan dengan Manchester United.
“Semua ini adalah hasil terkumpul kerja keras selama 15 hingga 18 bulan, yang tertumpu dalam satu malam. Lihatlah, Manchester United itu memang pasukan hebat. Mereka ada pengurus yang hebat juga dan memang nampak mereka di landasan yang betul.
“Kami pun ada satu pasukan pemain yang luar biasa, yang ingin bermain untuk kelab bola sepak ini, tinggal di kawasan ini dan ingin jadi lebih baik setiap hari,” katanya.
Sebelum itu, dia juga mengulas mengenai sepakan penalti yang berjaya dimenangi oleh pasukannya. Menurutnya, pemain diingatkan agar tidak terlalu tertekan dan bermain dengan taktik yang baik.
“Ia merupakan satu penentuan sepakan penalti yang panjang. Saya memberitahu Sean di pertengahan penentuan itu bahawa pada pusingan pertama tahun lalu, kami menewaskan Bradford 9-8 menerusi sepakan penalti. Saya juga menegaskan kepadanya sebelum penentuan bermula, bahawa sepakan penalti ini sebenarnya adalah soal teknikal dan juga psikologi.
“Para pemain memiliki teknik yang baik, malah kami berlatih setiap hari untuk mempertingkatkan mutu permainan. Ia ibarat satu peringatan di pintu masuk iaitu satu lagi peluang untuk menjadi lebih baik. Pasukan ini benar-benar berhasrat untuk meningkatkan prestasi.
“Dari sudut teknikal, semua pemain sudah bersedia, namun apabila melangkah untuk mengambil sepakan, pastinya ada rasa gementar, ada debaran di hati. Itu perkara biasa, dan tidak perlu terlalu bimbang mengenainya,” katanya.
Sementara itu, Amorim memohon maaf kepada semua penyokong Manchester United dan berkata mereka telah melakukan sebaik mungkin, namun kemenangan tidak berpihak kepada mereka.
“Saya cuma ingin minta maaf kepada penyokong. Saya sudah tidak tahu lagi apa yang ingin dikatakan mengenai prestasi pasukan. Kami sudah cuba sehabis baik sebab semua benda sangat penting untuk kelab. Dari pramusim lagi, lawan Arsenal kita kalah tapi nampak peningkatan.
“Tapi bila masuk perlawanan penting ini, pasukan mulakan perlawanan dengan cara seperti itu… saya rasa pemain-pemain sendiri sudah tunjuk jelas apa yang mereka mahukan. Jadi saya sekali lagi minta maaf pada penyokong. Tiada apa lagi yang boleh saya katakan,” katanya.
Sumber: BBC, Manchester World