
MammoSEL Selangor: Pemeriksaan Mammogram Percuma
Kesihatan wanita merupakan elemen penting dalam membentuk keluarga yang sejahtera dan masyarakat yang berdaya tahan.
Wanita sering memikul pelbagai peranan dalam kehidupan seharian sama ada sebagai ibu, isteri, pekerja mahupun penjaga ahli keluarga sehinggakan aspek kesihatan diri kerap diketepikan.
Hakikatnya penjagaan kesihatan yang konsisten dan pemeriksaan berkala amat penting. Khususnya apabila usia meningkat dan risiko penyakit tertentu menjadi lebih tinggi.
Menyedari keperluan ini, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Skim Kesihatan Wanita Selangor (MammoSEL) sebagai satu langkah proaktif untuk melindungi kesihatan wanita terutamanya dalam usaha pengesanan awal kanser payudara.
Melalui skim yang diuruskan oleh Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) ini, wanita Selangor yang layak diberikan peluang menjalani pemeriksaan mammogram secara percuma.
Ianya sekali gus membantu mengurangkan halangan kewangan dan menggalakkan lebih ramai wanita mengambil langkah awal demi kesihatan dan kualiti hidup yang lebih baik.
Mengesan kanser payudara lebih awal, peluang rawatan lebih baik
Kanser payudara tidak memilih latar belakang dan risiko semakin meningkat apabila usia bertambah. Justeru, SKWS menyediakan perkhidmatan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada wanita Selangor yang layak khususnya mereka yang berumur 50 tahun ke atas.
Pemeriksaan ini sangat penting kerana ia mampu mengesan perubahan atau ketumbuhan pada payudara sebelum simptom jelas muncul.
Sekiranya hasil mammogram menunjukkan keperluan pemeriksaan lanjut, pemohon juga akan diberikan akses kepada pemeriksaan tambahan seperti biopsi dan ultrasound tanpa sebarang bayaran.
Kemudahan menyeluruh ini bukan sahaja membantu dari sudut kesihatan malah mengurangkan beban kewangan yang sering menjadi halangan utama untuk menjalani pemeriksaan perubatan secara berkala.
Program ini turut menyokong kempen kesihatan negeri Selangor seperti ‘1 Juta Wanita Selangor Sihat’. Ianya bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai wanita tampil menjalani saringan kesihatan dan mengambil langkah pencegahan lebih awal demi kualiti hidup yang lebih baik.
Bagi memastikan bantuan ini disalurkan kepada golongan sasaran, pemohon perlu memenuhi beberapa syarat kelayakan berikut:
Wanita warganegara Malaysia
Berumur 50 tahun dan ke atas
Pengundi berdaftar di Negeri Selangor
Salah satu daripada syarat berikut perlu dipenuhi:
Lahir di Negeri Selangor dan sedang menetap di Selangor atau
Bermastautin di Negeri Selangor sekurang-kurangnya 10 tahun (bagi bukan kelahiran Selangor)
Bagi pemohon yang bukan kelahiran Selangor, pengesahan taraf mastautin adalah wajib dan perlu mendapatkan cop pengesahan daripada pihak pengesah yang dibenarkan serta berdekatan dengan tempat tinggal.
Cara permohonan Skim Kesihatan Wanita Selangor
Proses permohonan SKWS direka agar mudah diakses dan mesra pengguna. Permohonan boleh dibuat dengan langkah berikut:
Pendaftaran dalam talian melalui laman web rasmi: https://skw.yawas.com.my/
Platform media sosial rasmi yang disediakan oleh YAWAS
Penyediaan dokumen sokongan termasuk:
Borang permohonan yang lengkap
Salinan Kad Pengenalan pemohon
Salinan semakan status pengundi daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
Pengesahan mastautin (jika berkaitan):
Diperlukan bagi pemohon bukan kelahiran Selangor
Perlu mendapatkan cop pengesahan daripada pengesah yang dibenarkan
Dokumen sokongan ini perlu dihantar mengikut kaedah yang telah ditetapkan. Penghantaran boleh dibuat sama ada secara fizikal atau melalui emel seperti yang akan dimaklumkan selepas proses pendaftaran selesai.
Di bawah Skim Kesihatan Wanita Selangor (SKWS), wanita yang layak berpeluang menikmati pelbagai manfaat kesihatan yang penting tanpa perlu menanggung kos rawatan.
Selain itu, sekiranya hasil pemeriksaan awal menunjukkan keperluan untuk penilaian lanjut, pemohon akan dirujuk untuk pemeriksaan seterusnya. Pemeriksaan ultrasound serta biopsi akan diberikan secara percuma berdasarkan saranan dan keperluan perubatan.
Penyediaan manfaat menyeluruh ini bertujuan memastikan wanita tidak menangguhkan pemeriksaan kesihatan akibat kekangan kewangan atau kos rawatan yang tinggi.
Dengan akses kepada perkhidmatan saringan dan pemeriksaan lanjutan tanpa bayaran, SKWS membantu wanita mengambil langkah pencegahan lebih awal. Seterusnya meningkatkan peluang rawatan yang lebih berkesan dan kualiti hidup yang lebih baik.
Secara keseluruhannya, Skim Kesihatan Wanita Selangor (MammoSEL) mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan wanita.
Melalui pengurusan YAWAS dan sokongan kemudahan perubatan yang menyeluruh, skim ini membuka peluang kepada lebih ramai wanita untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tanpa rasa bimbang terhadap kos.
Wanita Selangor yang memenuhi syarat digalakkan untuk memanfaatkan skim ini sebagai langkah awal menjaga kesihatan diri. Kesihatan yang baik bukan sahaja memberi manfaat kepada individu malah menjadi asas kepada keluarga yang lebih sejahtera dan masyarakat yang lebih berdaya tahan.
BACA : Rare Tapi Berkesan: Cara Halau Semut Tanpa Racun di Rumah