Malim Gunung Selamatkan Pendaki Malaysia Dari Zon Kematian Everest
Seorang pendaki Malaysia terselamat dari maut apabila seorang malim gunung warganegara Nepal membantu menyelamatkannya ketika terperangkap di zon kematian Everest.
Menurut kenyataan rasmi daripada kerajaan Nepal, malim gunung berkenaan membantu membawa pendaki berkenaan keluar dari zon berkenaan ke bahagian kaki bukit.
Ketika itu, Gelje Sherpa, 3o, sedang membantu kliennya menuju puncak Everest yang terletak pada ketinggian 8,849 meter sebelum bertemu dengan pendaki Malaysia itu.
Menurut Gelje, dia melihat pendaki berkenaan sedang memegang erat pada seutas tali dan menggigil kesejukan. Difahamkan, suhu di zon kematian itu boleh jatuh serendah -30 darjah celcius.
Gelje kemudian membantu memapah pendaki tersebut turun ke kawasan South Pol yang terletak kira-kira 600 meter dari zon kematian berkenaan.
Perjalanan tersebut mengambil masa kira-kira enam jam dan dibantu malim gunung lain yang turut menghulurkan bantuan menyelamatkan pendaki tersebut.
“Kami telah membalut pendaki tersebut di dalam alas tidur dan mengheretnya di atas salji. Kami juga mengendong pendaki tersebut secara bergilir-gilir sehingga tiba di kem tiga,” kata Gelje.
Kemudian, sebuah helikopter tiba dan membawa pendaki berkenaan dari kawasan South Pol yang terletak pada ketinggian 7,162 meter ke kem utama.
Sesi menyelamat tersebut hampir mustahil untuk dilaksanakan
“Hampir mustahil untuk menyelamatkan pendaki pada altitud tersebut. Ini merupakan operasi yang sangat jarang berlaku,” skata Bigyan Koirala, seorang pegawai dari jabatan pelancongan.
Gelje berkata, beliau telah memujuk kliennya untuk membatalkan hasratnya untuk sampai ke puncak dan menyelamatkan nyawa adalah lebih penting buat masa ini.
“Menyelamatkan satu nyawa adalah lebih penting berbanding beribadah di biara,” kata Gelje yang merupakan seorang penganut agama Buddha.
Dalam pada itu, syarikat yang menyediakan perkhidmatan logistik kepada pendaki Malaysia tersebut enggan memberikan nama pendaki tersebut kerana menghormati privasinya.
Untuk makluman, Nepal telah mengeluarkan sebanyak 478 permit untuk mendaki Gunung Everest sepanjang musim mendaki dari Mac hingga Mei.
Sekurang-kurangnya, 12 pendaki dilaporkan maut tahun ini dan ia merupakan angka kematian tertinggi sepanjang lapan tahun. Manakala, lima orang pendaki masih dilaporkan hilang.
BACA: Dr. Zulkifli Puji Drama Korea, Babak Tepat & Sarat Dengan Ilmu
Sumber: The Guardian