
Tourism Malaysia menganjurkan Minggu Malaysia 2025 yang berlangsung dari 18 hingga 19 Oktober 2025 di Atrium, Aras Bawah, The Mall, Gadong.
Acara ini meraikan komitmen Malaysia dalam mempromosikan kepelbagaian destinasinya serta memperkukuh kerjasama dengan industri pelancongan Brunei, menandakan satu pencapaian penting menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Acara selama dua hari ini berperanan sebagai platform strategik untuk menampilkan keunikan pelbagai pengalaman pelancongan di Malaysia, daripada pengembaraan dan kebudayaan hinggalah ke kesejahteraan dan gaya hidup, sambil mengukuhkan kesediaan negara untuk menerima lebih ramai pelancong pada tahun hadapan.

Sebanyak sebelas peserta pameran yang mewakili negeri Selangor, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan, bersama ejen pelancongan dari Brunei Darussalam, turut serta dalam acara ini.
Mereka menawarkan promosi eksklusif dan diskaun istimewa bagi tambang penerbangan, penginapan hotel, serta pakej percutian. Bagi menambah kemeriahan, acara ini turut menampilkan aktiviti interaktif, permainan kanak-kanak, serta cabutan bertuah harian dengan hadiah menarik untuk para pengunjung.

Minggu Malaysia 2025 dirasmikan bersama oleh Yang Terutama Datuk Mohd Aini Atan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam; Haji Badarudin bin Haji Bagol, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Royal Brunei Airlines; dan Puan Hazrina Azman, Pengarah Tourism Malaysia Brunei Darussalam.
“Brunei sentiasa menjadi salah satu pasaran pelancongan utama Malaysia dalam rantau ASEAN. Melalui Minggu Malaysia 2025, kami ingin menginspirasi lebih ramai warga Brunei untuk menerokai semula Malaysia, bukan sekadar destinasi percutian berdekatan, tetapi sebagai sebuah destinasi yang kaya dengan budaya, pengembaraan dan pengalaman autentik.

Dengan ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2026, kami berharap dapat menyambut lebih ramai pelancong untuk merasai keindahan dan kehangatan negara kami,” ujar Puan Hazrina Azman.
Menyentuh mengenai hubungan dua hala, Yang Terutama Datuk Mohd Aini menegaskan bahawa “hubungan pelancongan yang erat antara Malaysia dan Brunei mencerminkan persahabatan yang kukuh serta ikatan mendalam antara kedua-dua negara, berasaskan budaya bersama, saling menghormati, dan hubungan rakyat ke rakyat.
Melalui acara ini, kami berharap dapat memberikan rakan-rakan Brunei peluang untuk merasai gaya hidup dinamik Malaysia, tarikan pelancongan yang pelbagai, hospitaliti bertaraf dunia, serta rangkaian pengangkutan yang unggul.”

Brunei Darussalam kekal sebagai salah satu pasaran pelancongan utama Malaysia dalam kalangan negara ASEAN. Dari Januari hingga Ogos 2025, Malaysia merekodkan sebanyak 1,005,423 ketibaan pelawat dari Brunei, mencerminkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dalam kalangan rakyat Brunei.
Melangkah ke hadapan, Malaysia terus memperluas segmen pelancongan bernilai tinggi termasuk percutian mesra keluarga, pelancongan ekologi dan komuniti, kesejahteraan, pendidikan, pakej penginapan jangka panjang serta pelancongan MICE yang disokong oleh infrastruktur bertaraf dunia dan pengalaman tempatan yang autentik.
Ketika negara bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026, Malaysia berdiri teguh untuk menerima jutaan pelancong yang mencari pengalaman perjalanan yang pelbagai dan bermakna.