Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui laman Twitter rasmi sebentar tadi memaklumkan bahawa Malaysia telah menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak.
Menurut KKM, bekalan vaksin jenis Pfizer tersebut bakal digunakan untuk pemberian vaksin kanak-kanak di bawah Program Pemberian Vaksin Kanak-kanak (PICKids) bermula bulan hadapan.
“Malaysia telah menerima bekalan pertama vaksin Pfizer kanak-kanak yang akan digunakan bagi pemberian vaskin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun.
“PICKids akan bermula pada bulan hadapan iaitu 3 Februari 2022,” kata KKM dalam sebuah ciapan di laman Twitter hari ini.
Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato’ Dr Haji Noor Azmi Ghazali dalam sesi sidang media semalam memaklumkan bahawa program PICKids akan dilaksanakan di kawasan sekitar Lembah Klang sebagai permulaan.
Para ibu bapa untuk kanak-kanak berumur lima hingga bawah 12 tahun di sekitar Lembah Klang dipelawa membuat tempahan janji temu vaksin COVID-19 untuk anak masing-masing.
Jelas Noor Azmi, Sistem Tempahan Janji Temu melalui aplikasi MySejahtera akan dibuka untuk memudahkan para ibu bapa mendaftar untuk anak masing-masing mengikut lokasi yang sesuai.
Bercakap tentang keselamatan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak, Noor Azmi turut meyakinkan bahawa vaksinasi kanak-kanak selamat dan berkesan.
“Saya ingin menekankan bahawa vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak adalah selamat dan berkesan.
“Ini juga disokong dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Academy of Medicine Malaysia pada 20 Januari 2022,” ujarnya dalam kenyataan semalam.
Sumber: KKM