Malaysia Pun Ada, Ini 12 Kisah Benar Dari Hutan Paling Berhantu Di Dunia
Hutan selalunya digambarkan sebagai tempat yang tenang, sejuk dan damai.
Tapi dalam diam, ada hutan yang menyimpan kisah menyeramkan dan misteri yang belum terjawab. Ada yang hilang tanpa jejak, ada juga yang ternampak kelibat makhluk pelik.
Kalau anda jenis yang suka cerita seram, ini 12 hutan paling berhantu di dunia termasuk satu di Malaysia sendiri.
Hutan Broceliande, Perancis
Terletak di Brittany, Perancis, hutan ini sering dikaitkan dengan legenda Raja Arthur.
Di sinilah terletaknya Makam Merlin, ahli sihir yang dikatakan memiliki kuasa luar biasa.
Lebih menyeramkan, satu kawasan yang dikenali sebagai “Lembah Tanpa Pulang” dipercayai tempat di mana adik tiri Raja Arthur, Morgan le Fay, memerangkap lelaki curang.
Pada tahun 1990, kebakaran besar berlaku dan kini diperingati dengan “Pokok Emas” misteri. Penduduk tempatan percaya kawasan ini masih menyimpan banyak rahsia ghaib.
Hutan Hoia-Baciu, Romania
Dikenali sebagai Segitiga Bermuda Romania, hutan ini terkenal dengan kehilangan misteri.
Salah satu kisah paling pelik ialah seorang pengembala bersama 200 ekor biri-biri yang hilang secara tiba-tiba dan muncul semula lima tahun kemudian tanpa menua sedikit pun.
Pengunjung sering melaporkan rasa cemas dan seolah-olah sedang diperhatikan. Penduduk tempatan juga tidak berani masuk ke hutan ini kerana percaya mereka mungkin tidak akan keluar semula.
Hutan Smolensk, Rusia
Ketika Perang Dunia Kedua, tentera Jerman menemui kubur besar mengandungi mayat lebih 20,000 askar Poland yang dibunuh atas arahan Joseph Stalin.
Tragedi berulang apabila kapal terbang yang membawa 96 pemimpin Poland terhempas di kawasan sama pada tahun 2010.
Hutan ini dikaitkan dengan roh-roh tidak tenang yang dipercayai masih berkeliaran.
Long Trail, Vermont, AS
Laluan mendaki sepanjang 272 batu ini terkenal selepas pelajar Paula Jean Welden hilang secara misteri pada tahun 1946.
Antara tahun 1945 hingga 1950, lima orang hilang di kawasan ini, hanya satu mayat ditemui.
Tenaga negatif dikatakan masih menyelubungi laluan ini sehingga kini.
Hutan Black Forest, Jerman
Hutan ini sangat gelap sehingga diberi nama “Black Forest”. Ia menjadi inspirasi kepada cerita dongeng seram oleh Brothers Grimm.
Legenda tempatan menyebut tentang makhluk bernama Der Grossmann, lelaki tinggi bermata besar dan bertangan banyak yang memanggil kanak-kanak masuk ke hutan, lalu mereka tidak pernah kembali.
Pine Barrens, New Jersey, AS
Dikenali kerana tanahnya yang berasid dan tidak subur, kawasan ini menjadi tempat tinggal golongan terpinggir sejak abad ke-18.
Dari sinilah lahirnya legenda “Jersey Devil”, makhluk menyeramkan berkepala kambing, bersayap kelawar dan berkaki bercabang. Ia dipercayai masih berkeliaran di dalam hutan ini.
Bukit Doon, Scotland
Terletak dalam Taman Negara Loch Lomond, Bukit Doon dikenali sebagai pintu masuk ke istana bunian bawah tanah.
Pada 1691, seorang pendeta tempatan menulis tentang rahsia makhluk halus ini dalam sebuah buku. Akibatnya, beliau dikatakan dikutuk dan rohnya masih menghantui kawasan tersebut.
Hutan Blairadam, Scotland
Hutan ini pernah menjadi lokasi lombong arang batu pada zaman Victoria. Ramai pengunjung mendakwa berasa cemas tanpa sebab dan haiwan peliharaan tiba-tiba menjadi gelisah.
Kisah menyeramkan tercetus pada tahun 2008 apabila satu keluarga menemui bayangan makhluk berpakaian zaman Victoria dalam foto yang diambil semasa berkelah.
Namun, mereka dikatakan tidak pernah melihat sesiapa semasa berada di sana.
Island of the Dolls, Mexico
Dikenali sebagai Isla de las Muñecas, pulau ini dihiasi dengan ratusan patung dan anggota tubuh patung yang digantung pada pokok-pokok.
Seorang lelaki menghiasi hutan ini selepas melihat mayat seorang gadis kecil yang lemas di kawasan tersebut.
Kini, ramai pelawat mendengar bisikan halus dari patung-patung di celah dedaun.
Taman Bukit Tawau, Sabah, Malaysia
Terletak di Sabah, hutan ini merupakan rumah kepada pokok tertinggi di dunia, iaitu yellow meranti.
Walaupun popular di siang hari, penduduk setempat tidak berani ke sana pada waktu malam.
Kawasan berhampiran air terjun dipercayai menjadi tempat paling berhantu.
Ada yang mendakwa mendengar jeritan misteri dan bayang-bayang hitam, malah terdapat cerita kehilangan orang tanpa jejak di kawasan ini.
Hutan Freetown-Fall River, Massachusetts, AS
Hutan ini berada dalam Segitiga Bridgewater yang terkenal dengan kejadian paranormal.
Antara fenomena pelik ialah kehilangan, cahaya misteri, ritual sesat dan makhluk legenda kaum asli dikenali sebagai Pukwudgie.
Ada yang percaya roh suku kaum asli masih menghantui kawasan ini kerana sejarah penjajahan lampau.
Wistman’s Wood, England
Terletak di Taman Negara Dartmoor, England, hutan ini begitu lebat sehingga cahaya matahari sukar menembusi pokok-pokoknya.
Kononnya tempat ini dihuni oleh roh druid, anjing neraka dan makhluk halus purba.
Hutan ini sering dinobatkan sebagai tempat paling berhantu di England dan kerap mengganggu pendaki dengan bisikan dan kelibat misteri.
BACA: 11 Negara Paling Selamat Berlindung Jika Perang Dunia Ke-3 Meletus
BACA: Kajian Dedah Bentuk Sebenar Tubuh Lelaki Yang ‘Sempurna’
BACA: 10 Negara Paling Bahaya Untuk Pelancong Wanita Solo
Sumber: Reader’s Digest