Malaysia Menerajui ASEAN: Jabatan Standard Malaysia Pacu Industri xEV Negara, Lancar MS2818 Sebagai Standard Pasport Bateri Pertama Di Asean
KUALA LUMPUR, 14 November 2025 – Jabatan Standard Malaysia (JSM), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), dengan kerjasama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), hari ini mengorak langkah strategik dalam menyokong ekosistem kenderaan elektrik (xEV) negara dengan pelancaran Malaysian Standard (MS) 2818 Battery passport for electrified vehicle – General requirements.
Standard baharu ini bukan sahaja merupakan yang julung kali dibangunkan oleh Malaysia, malah ia adalah standard pasport bateri kenderaan elektrik (xEV) yang pertama seumpamanya di rantau ASEAN.
Standard ini yang dilancarkan sempena MITI ASEAN DAY 2025, dijangka akan menjadi penanda aras serantau dalam pembangunan ekosistem bateri xEV yang lebih telus, lestari dan berkesan.
MS 2818 berfungsi sebagai rekod digital komprehensif yang merekodkan maklumat penting sepanjang kitar hayat bateri kenderaan elektrik.
Bagi memastikan ekosistem bateri dikawal selia dengan berkesan, standard ini memberikan tumpuan dalam memastikan keterkesanan jejak bateri, meningkatkan ketelusan maklumat bateri dan menyokong kemampanan kitar hayat bateri dari pengeluaran hingga pelupusan.
Pembangunan standard ini juga merupakan inisiatif penting untuk menyokong komitmen negara dalam mengurangkan pelepasan karbon. la dilaksanakan melalui galakan terhadap pertumbuhan dan penggunaan kenderaan elektrik (xEV) di Malaysia.
Majlis pelancaran MS hari ini juga turut mengumumkan tiga (3) lagi standard kebangsaan yang memberi tumpuan kepada sektor makanan, yang telah diluluskan secara rasmi pada 24 Oktober 2025 iaitu:
i. MS 1480 Food Safety According to Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) System (Third revision).
ii. MS 2683 Dehydrated Kelulut (Stingless Bee) Honey – Specification (First revision).
iii. MS 2782 Honey (Apis sp.) – Specification.
Keempat-empat MS yang dilancarkan hari ini merupakan manifestasi komitmen kerajaan melalui MITI dan JSM untuk memastikan produk keluaran negara memenuhi tahap keselamatan, kualiti dan kebolehpasaran antarabangsa. MS ini juga menyokong aspirasi kerajaan untuk membangunkan ekonomi berasaskan nilai dan inovasi, sejajar dengan agenda Malaysia MADANI.
Pelancaran MS 2818 ini dilihat sebagai pemangkin strategik dalam mewujudkan dan membangunkan ekosistem industri xEV yang lebih mantap, inovatif, dan mampan demi masa hadapan Malaysia.