Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020 telah melabuhkan tirai acara pada Jumaat lalu dengan pelbagai kejayaan yang dikecapi Malaysia.
Bergelar sebagai tuan rumah, Malaysia nampaknya dapat membuktikan kemampuan untuk mengendalikan persidangan itu secara maya dan sekaligus memberikan kredit tambahan kerana telah bersedia mengambil langkah proaktif dalam menangani penularan COVID-19. Bergelar sebagai tuan rumah, Malaysia nampaknya mula menunjukkan taring apabila Visi 2040 telah diisytiharkan dengan mendapat kata sepakat pemimpin ekonomi APEC.

Bakal Gantikan Matlamat Bogor Sejak 1994
Visi baharu yang telah dipersetujui oleh pemimpin APEC itu bakal menggantikan Matlamat Bogor yang telah diumumkan pada tahun 1994 ketika para pemimpin APEC bertemu di Bogor, Indonesia. Visi Putrajaya 2040 yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC secara maya ini bakal menggantikan Matlamat Bogor ekoran ianya bakal berakhir pada tahun ini.
Menurut Perdana Menteri Malaysia, teras Visi Putrajaya 2040 adalah komuniti Asia Pasifik yang terbuka, dinamik dan berdaya tahan menjelang 2040, demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa depan semua ekonomi. Menerusi visi itu juga, anggota akan memastikan Asia Pasifik terus menjadi rantau ekonomi dinamik dan terkemuka dalam segmen perdagangan dan pelaburan.

Visi yang juga selari dengan agenda kemakmuran bersama itu juga membolehkan negara rantau Asia Pasifik membuat perancangan dan persediaan rapi bagi berdepan dengan krisis di samping memberi keutamaan kepada pemerkasaaan bidang inovasi dan pendigitalan.
Menerusi visi itu, Asia Pasifik akan dipastikan terus menjadi rantau ekonomi dinamik dan terkemuka terutamanya dalam segmen perdagangan dan pelaburan.
Deklarasi Kuala Lumpur 2020
Dalam pada itu, penekanan usaha memerangi COVID-19 juga dipersetujui oleh semua pemimpin APEC melalui Deklarasi Kuala Lumpur 2020 termasuklah merencana strategi pengukuhan empat aspek pertumbuhan negara.

Deklarasi itu juga turut mengetengahkan tekad setiap pemimpin untuk memulih Asia Pasifik daripada krisis kesihatan awam yang menggugat pertumbuhan ekonomi serantau. Oleh itu, kerjasama dan kata sepakat 21 negara anggota akan tertumpu kepada kepentingan merangka dasar bersama demi kelestarian dan melonjak taraf kehidupan rakyat menerusi beberapa mekanisme tertentu.
Antaranya ialah menetapkan tiga pemacu ekonomi utama iaitu perdagangan dan pelaburan, inovasi dan pendigitan serta pertumbuhan yang padu, seimbang, terjamim, mampan dan inklusif.
Penganjuran APEC 2020 Berjalan Lancar
Penganjuran APEC 2020 pada kali ini nampaknya menunjukkan perkembangan positif apabila mendapat komitnen negara anggota untuk bekerjasama dalam beberapa agenda penting.

Pada 2018, para pemimpin tidak dapat mencapai persetujuan berhubung Deklarasi pemimpin manakala Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC telah dibatalkan pada 2019 berikutan keadaan domestik Chile ketika itu.
Pernah menjadi tuan rumah pada 1998, Malaysia sekali lagi menganjurkan APEC melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bertindak sebagai Sekretariat Kebangsaan APEC 2020.

Penganjuran yang berlansung secara maya itu juga menyaksikan Perdana Menteri menyempurnakan majlis penyerahan hak penganjuran kepada New Zealand sebagai tuan rumah APEC 2021 kepada Jacinda Ardern, Perdana Menteri negara itu.