BERNAMA

Malaysia Kesan Kes Pertama Varian COVID-19 Dengan Mutasi Berganda B.1.617.1 Dari India

Nur Adnin

Kes pertama kemasukan varian COVID-19 dengan mutasi berganda dari India telah dikesan daripada hasil saringan di pintu masuk utama negara, umum Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba.

Menurut laporan Astro Awani, kes tersebut direkod melalui kemasukan seorang warganegara India yang melakukan ujian saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Jelas Adham, mutasi dengan varian berganda dikenali sebagai B.1.617.1 itu dikenal pasti daripada hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS) yang dijalankan dari 24 April hingga 1 Mei semalam.

“Berdasarkan laporan WGS, beberapa penemuan direkodkan membabitkan 59 genom dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi tempoh dari 24 April hingga 1 Mei (semalam).

“Ini termasuk 30 lagi varian membimbangkan (VOC), iaitu 27 varian Afrika Selatan B.1.351 dan tiga varian United Kingdom, UK B.117, malah kita menemui varian mempunyai kepentingan (VOI), iaitu varian dari India, B.1.617.

“Malangnya, laporan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ini mengesahkan kes pertama VOC B.1.351 di Perak dan Kelantan, membabitkan kewujudan kluster dengan 10 kes positif di setiap negeri terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, memetik sumber Awani.

Untuk rekod, varian berkenaan mulai ditemui di India pada 27 April baru-baru ini dan ia didapati menular sekurang-kurangnya ke 17 negara di seluruh dunia tiga hari kemudian, merujuk Laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Infuenze (GISAID).

Dalam masa sama, terdapat pertambahan tujuh lagi kes varian B.1351, manakala dua kes varian UK B.1.1.7 turut dikesan di Selangor, selain satu kes lagi varian sama dikesan di Sandakan, Sabah melibatkan bukan warganegara.

“Malah ini kes pertama varian dari UK dalam kalangan individu tanpa sejarah perjalanan ke luar negara dan berkemungkinan ia penularan tempatan.

“Setakat ini, 48 kes varian Afrika Selatan, B.1351 direkodkan, UK B.1.1.7 (lapan kes), India B.1617 (satu kes) dan varian Nigeria B.1525 (dua kes). IMR turut mengesan satu kes nasabah C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir,” katanya.

Sumber: Astro Awani