Sejarah tercipta apabila Malaysia kali pertama berjaya menjulang Piala Sultan Azlan Shah selepas menumpaskan Korea Selatan dengan skor 3-2 dalam perlawanan yang cukup dramatik.
Turun menentang juara tiga kali itu, The Speedy Tigers sama sekali tidak gentar dengan memulakan permainan dengan baik apabila membuka jaringan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke -15 hujung suku pertama.
Bagaimanapun, Korea Selatan kembali mengikat kedudukan apabila berjaya memperolehi gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-16 pada awal suku kedua menerusi pemain Jang Jonghyun.
Dalam perlawanan yang penuh mendebarkan itu, Malaysia berjaya menyerap asakan pihak lawan dan beberapa kali melakukan serangan balas yang hampir menggugat pihak lawan.
Menerusi serangan balas pantas, skuad negara berjaya memperolehi penalti strok hasil foul yang dilakukan oleh pemain Korea Selatan.
Mengambil tugas sebagai kapten pasukan, Muhammad Razie Abd Rahim mudah menolak masuk bola untuk meletakkan The Speedy Tigers kembali di depan pada hujung babak ketiga.
Gol itu nyata menjadi pembakar semangat skuad negara apabila pemain muda Muhammad Aminuddin Mohd Zain berjaya menyumbat gol ketiga negara hasil gol padang pada minit ke-48 suku keempat.
Meskipun Korea berjaya mendapat gol kedua pada penghujung babak keempat hasil pukulan sudut penalti Jeon Byungjin. Gol ketiga negara itu sudah cukup untuk mengesahkan kejuaraan pertama Malaysia dalam kejohanan itu sekaligus mencipta sejarah dalam arena hoki negara.
Untuk pengetahuan, Malaysia pernah menjadi naib juara Piala Sultan Azlan Shah sebanyak lima kali pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.
Sumber: Malaysian Hockey Confederation
BACA: “Orang Kampung Kata…Mungkin Tak Kembali,” Misteri Busut Di Kg. Seri Daik, Penduduk Dilarang Dekat