Malaysia Autoshow 2025 Jana Lebih RM1.72 Bilion Jualan Potensi Tarik 294,062 Pengunjung
Gambar Hiasan
Tiada Kategori

Malaysia Autoshow 2025 Jana Lebih RM1.72 Bilion Jualan Potensi Tarik 294,062 Pengunjung

Siti Sakinah

Malaysia Autoshow 2025 Jana Lebih RM1.72 Bilion Jualan Potensi Tarik 294,062 Pengunjung

SERDANG, 19 MEI 2025 – Malaysia Autoshow 2025 (MAS 2025) melabuhkan tirainya dengan kejayaan paling cemerlang setakat ini, mencatat kehadiran pengunjung tertinggi iaitu seramai 294,062 orang, serta RM1.72 bilion jualan potensi hasil daripada 3,194 tempahan kenderaan dan 1,512 cadangan tukar beli, di samping 18,824 petunjuk jualan yang menggalakkan.

Acara ini dianjurkan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dengan sokongan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sekaligus menegaskan kedudukan Malaysia yang semakin kukuh sebagai peneraju mobiliti generasi baharu ketika negara memegang Pengerusi ASEAN 2025.

Diadakan dari 9 Mei hingga 15 Mei di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), MAS 2025 menampilkan lebih daripada 200 pempamer dan 500 kenderaan merentasi ruang pameran seluas 50,000 meter persegi. Bertemakan Mengubah Masa Depan”, acara tahun ini bukan sahaja memecahkan rekod kehadiran, malah berjaya meningkatkan pemahaman orang ramai terhadap ekosistem mobiliti yang pesat berkembang.

MAS 2025 mencatat peningkatan kehadiran sebanyak 31% berbanding 2024, memecahkan semua rekod kehadiran sebelum ini pada hari terakhir acara. Lonjakan ini dipacu oleh lanjutan dua hari tambahan penganjuran tahun ini.

Sebanyak 48 pelancaran dan pratonton kenderaan baharu berlangsung di acara ini, bersama 10,916 sesi pandu uji di trek luar. Kenderaan berkuasa elektrik (EV, PHEV dan HEV) membentuk 51% daripada keseluruhan model yang dipamerkan, mencerminkan peralihan kepada mobiliti lebih hijau. MAS 2025 turut menyaksikan pelancaran rasmi Skim Pelabelan Sukarela NxGV, yang bertujuan memperakui kenderaan yang memenuhi piawaian tinggi Malaysia dalam aspek kelestarian, keselamatan dan inovasi.

MAS 2025 turut mencatat pencapaian serantau melalui ASEAN Unity Drive 2025, satu konvoi EV sejauh 10,432 kilometer merentasi sembilan negara ASEAN yang diiktiraf oleh Rekod ASEAN. Konvoi ini menampilkan model Proton e.MAS 7 dan siri X, memperjuangkan penyelarasan piawaian EV dan kebolehoperasian rentas sempadan. Ini membuktikan bahawa perjalanan jarak jauh menggunakan EV di seluruh negara anggota bukan sahaja boleh dilakukan, malah sudah pun tersedia – bergantung kepada infrastruktur pengecasan yang mencukupi – sekali gus menandakan kesediaan ASEAN ke arah masa depan mobiliti hijau yang bersatu.

Sebagai acara berorientasikan pengguna dan dipacu kerajaan, MAS 2025 memberi fokus kepada kesedaran awam mengenai kelestarian, keselamatan dan teknologi pengangkutan masa hadapan. Hari bertema seperti Hari Pendidikan, Hari Wanita, dan Hari Hijau memberi peluang pembelajaran secara langsung kepada ribuan keluarga, pelajar dan golongan profesional.

Menambah tarikan masa depan, pertunjukan Mobiliti Udara Bandar dipersembahkan, memberi gambaran tentang visi Malaysia untuk landskap mobiliti termasuk pengangkutan eVTOL (electric Vertical Take-Off and Landing). Sementara itu, ADaPTIV – hasil kerjasama strategik antara MARii dan PETRONAS – diperkenalkan sebagai sistem pintar ramalan masa nyata untuk kenderaan yang dapat meningkatkan prestasi dan kebolehpercayaan. Dengan mempamerkan prototaipnya, ADaPTIV memberi peluang kepada pengendali komersial dan armada untuk mengurangkan masa henti, menjimatkan kos, dan meningkatkan daya saing.

Pada majlis penutupan, Datuk Dr. Aminar Rashid, Pengerusi MARii, merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan termasuk rakan strategik seperti Perodua, Proton, Chery, Modenas, Honda dan ORS Technologies yang menyumbang kepada kejayaan acara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Azrul Reza Aziz, berkata, “MAS 2025 bukan sekadar tentang kereta; ia mengenai membina jambatan antara inovasi, penglibatan awam dan transformasi industri. Dalam meneruskan usaha untuk menjadi peneraju EV dan pengeluaran kenderaan generasi baharu, kami akan terus memperkasakan setiap bahagian dalam rantaian nilai mobiliti.”

YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, menegaskan keselarasan acara ini dengan matlamat strategik negara:

“Sebagai pasaran automotif kedua terbesar di Asia Tenggara dan Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk memimpin usaha serantau ke arah teknologi kenderaan hijau dan generasi baharu. Ini sejajar dengan tumpuan Malaysia dalam pembangunan garis panduan bagi menyokong pelan hala tuju EV ASEAN sebagai salah satu pencapaian dalam tahun Pengerusi ASEAN kita. Kejayaan Malaysia Autoshow 2025 adalah langkah besar ke arah matlamat tersebut dan memperkukuh rantaian bekalan mobiliti generasi baharu serantau. Selain menjadi platform pelaburan, kerjasama dan inovasi serantau, MITI turut komited memastikan PKS dan tenaga kerja kita bersedia menghadapi peluang dalam industri e-mobiliti yang lebih berdaya tahan.”

Malaysia Autoshow akan kembali pada tahun 2027, berkemungkinan di lokasi baharu bagi menawarkan pengalaman lebih baik kepada pengunjung dan pemain industri. Acara ini akan terus berkembang sebagai platform serantau utama untuk mobiliti, inovasi dan teknologi pengangkutan bersih.

Untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini, sila layari www.autoshow.my atau ikuti saluran media sosial rasmi kami.