
Malaysia Airlines: Pesawat Ke-12 Boeing 737-8 Selamat Tiba
Malaysia Airlines terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh armadanya apabila menerima ketibaan pesawat Boeing 737-8 yang ke-12 hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pesawat baharu yang didaftarkan dengan nombor pendaftaran 9M-MVM itu selamat mendarat di KLIA selepas melalui penerbangan panjang dari Honolulu ke Guam dan seterusnya ke Kuala Lumpur.
Penerbangan MH5041 telah dikendalikan dengan baik oleh Kapten Arian Syazwara Adenan, Kapten Mohd Aidilputra Abd Razak, dan Pegawai Pertama Aidid Azizul Hashim.
Ketibaan pesawat ini menandakan satu lagi pencapaian penting bagi syarikat penerbangan nasional itu dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kepada para penumpang.
“Dengan setiap ketibaan pesawat baharu, kami memperteguh komitmen kami untuk meningkatkan pengalaman perjalanan anda melalui kecekapan yang lebih tinggi, keselesaan yang dipertingkatkan, serta kehangatan Malaysian Hospitality.
“Menuju ke arah ufuk baharu dan perjalanan yang lebih bermakna,” tulis Malaysia Airlines.
Sumber: Malaysia Airlines