Sebuah kereta telah merempuh sekumpulan pelajar tadika di wilayah Shiga, Jepun dan mengakibatkan dua daripada mereka maut di tempat kejadian.
Insiden itu telah meragut nyawa seorang pelajar lelaki dan perempuan, di mana kedua-duanya baru berusia dua tahun.
Pihak polis berkata, kereta tersebut telah tersasar daripada laluannya selepas bersentuhan dengan kenderaan lain sebelum melanggar sekumpul 13 pelajar tadika dan 3 orang guru di laluan pejalan kaki.
Selain daripada dua mangsa yang terbunuh, beberapa pelajar yang lain turut mengalami kecedaraan, namun tiada maklumat terperinci telah diberikan.
Menurut penduduk sekitar, kumpulan kanak-kanak ini sering dilihat menggunakan laluan berkenaan bersama guru-guru mereka serta mengakui bahawa keadaan trafik di kawasan itu agak sibuk.
Dalam pada itu, syarikat yang menguruskan pusat tadika berkenaan dalam satu kenyataan di Facebook mereka memberitahu bahawa mereka sangat terkejut dan sedih dengan kejadian ini.
Pemandu bagi kedua-dua kereta yang terlibat iaitu seorang wanita berusia 52 tahun dan seorang lagi wanita berumur 62 tahun telah ditahan polis untuk tujuan siasatan.
Sumber: Japan Today