
PUTRAJAYA, 16 OGOS 2023 – Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius video yang ditularkan berkaitan dakwaan penipuan oleh pemborong beras tempatan yang membungkus semula kampit beras tempatan menjadi bungkusan kampit beras import yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan. Untuk makluman, penguatkuasaan undang-undang berkaitan padi dan beras dilaksanakan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB), KPKM di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 .
KPKM melalui KPB telah berkolaborasi secara strategik bersama Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui OP JAMIN yang telah pun dilancarkan pada 7 Julai 2023. Sehingga 10 Ogos 2023, sebanyak 925 pemeriksaan telah dilaksanakan secara bersama-sama antara KPKM dan KPDN di seluruh negara bagi memastikan kestabilan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) sentiasa terjamin.
KPKM akan turut melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang akan dilaksanakan mulai 16 Ogos 2023. OP BPT akan memberi fokus pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi (komersial) dan pemborong beras. Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada.
KPKM ingin memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar tidak sesekali melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras dengan menukar bungkusan/ label beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI) dan dijual pada harga jualan runcit beras putih import (BPI).
Tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati membuat kesalahan perihal satu kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Akta Kawalselia Padi dan Beras boleh dikenakan penalti seperti berikut:
Individu: boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM25,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya dan;
Syarikat: boleh didenda sehingga RM50,000.00.
Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan beras, sila kemukakan aduan secara rasmi bersama butiran dan maklumat yang lengkap melalui saluran berikut:
Kawalselia Padi dan Beras,
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
Portal Aduan KPB : https://skpb.kpkm.gov.my/adu
E-mel Rasmi ([email protected])
Hotline Ibu Pejabat KPB Putrajaya : 03-88701751/1748/1183