
Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia memandang serius video dimuatnaik oleh pemegang akaun Facebook Lando Zawawi Vrus pada 22 Jun 2024 (Sabtu), jam 2.47 petang berkaitan tampalan pothole pecah yang tular di laman media sosial tersebut.
Hasil semakan mendapati lokasi jalan raya yang tular itu adalah di Jalan Hj Abdul Manan (Jalan Negeri) yang kini berada di dalam had penyelenggaraan pihak pemaju Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Kerosakan tampalan yang ditularkan adalah berpunca daripada tampalan secara coldmix yang dilaksanakan oleh pihak pemaju dan takungan air pada bahu jalan tersebut. Demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya, JKR Malaysia melalui JKR Daerah Klang telah mengarahkan pihak ECRL untuk membaik pulih tampalan secara hotmix di tapak dengan kadar segera.
JKR Malaysia sentiasa komited dan prihatin terhadap keselamatan pengguna jalan raya. Orang awam turut dinasihatkan untuk melaksanakan perkongsian berhemah dan menyemak terlebih dahulu sebelum menyebarkan sebarang berita/informasi. #BahasaCerminanPeribadi #TakPastiJanganKongsi