Makin Parah, 20 Negara Umum Kes Pertama Virus Covid-19

Aqmal Ezany

Wabak virus Covid-19 yang tercetus di China dilihat semakin memburuk selepas kes positif pertama dicatatkan di beberapa negara Eropah dan Timur Tengah pada penghujung bulan ini.

Kepantasan virus Covid-19 menjangkiti orang ramai telah mencetuskan kebimbangan serta memaksa pihak kerajaan untuk mengambil langkah-langkah pencegahan yang drastik bagi mengekang penularan wabak ini.

Antara negara luar daripada China yang mencatatkan angka kes terbanyak adalah Itali dan Iran.

Sebanyak 655 kes yang dijangkiti dengan virus Covid-19 serta 17 kematian dicatatkan berlaku di Itali, sementara Iran pula mencatat sebanyak 245 kes dan 26 kematian.

Difahamkan, negara-negara jirannya sudah mula menutup sempadan dan mengeluarkan sekatan perjalanan akibat daripada wabak virus Covid-19 ini.

Antara 20 negara yang telah mengesahkan kes virus Covid-19 pertama di negara mereka adalah Oman, Afghanistan, Denmark, Estonia, Macedonia Utara, Pakistan, Sepanyol, Algeria, Croatia serta Kuwait.

Sementara itu di Jepun, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe pada Khamis (27/2/2020) telah mengarahkan supaya semua sekolah di negara itu ditutup sementara bermula Isnin sehinggalah akhir bulan Mac 2020.

Keputusan tersebut dilakukan berikutan dengan penularan wabak virus Covid-19 itu di Jepun.

Sumber: Tribun