Kecantikan adalah ciri yang sangat subjektif dan mungkin mempunyai definisi yang berbeza mengikut individu.
Pun begitu, setiap negara di seluruh dunia pasti mempunyai standard kecantikan yang tersendiri. Baik wanita ataupun lelaki, standard kecantikan ini sedikit sebanyak mempengaruhi ciri fizikal idaman kita.
Di negara-negara lain, mempunyai tubuh badan yang kekar sering menjadi ciri fizikal idaman lelaki. Tetapi lain pula dengan pemuda-pemuda suku kaum Bodi di Ethopia ini.
Bagi suku kaum Bodi, lelaki yang lebih berisi dan mempunyai perut buncit dianggap kacak di kampung mereka. Bukan itu sahaja, kanak-kanak lelaki masyarakat Bodi ini turut menanam cita-cita untuk memiliki tubuh badan yang gempal.
Sementara bagi kaum wanita pula, lelaki yang berisi adalah calon suami yang paling ideal. Dalam erti kata lain, lelaki yang gempal dan buncit sering menjadi rebutan para gadis dalam komuniti Bodi ini.
Lelaki tergemuk digelar ‘hero’ seumur hidup
Di perkampungan Omo di mana suku Bodi ini tinggal, seorang pemuda akan dinobatkan sebagai lelaki tergemuk semasa upacara Ka’el atau tahun baru masyarakat Bodi. Pemenang dikatakan bakal menyandang gelaran ‘hero’ seumur hidupnya.
Setiap peserta yang bakal menyertai pertandingan ini akan dipilih oleh ahli keluarga mereka sendiri dan dipilih dari kalangan lelaki yang belum berkahwin. Mereka kemudiannya perlu menjalani diet khas selama enam bulan.
Untuk membentuk fizikal mereka menjadi lebih berisi dan memiliki perut yang buncit, para pemuda dari suku Bodi akan meminum susu dan darah lembu bermula enam bulan sebelum upacara Ka’el.
Dalam tempoh setengah tahun ini, pemuda yang mengambil bahagian akan berdiam di pondok tempat tinggal mereka, dilarang bergerak ke mana-mana dan tidak boleh melakukan hubungan kelamin.
Sementara itu, kaum wanita dari suku Bodi akan membawa ‘makanan’ untuk peserta. ‘Makanan’ yang dimaksudkan tak lain tak bukan adalah susu dan darah lembu yang sudah dicampur.
Gambar: Daily MailPun begitu, lembu yang diambil darahnya tidak disembelih oleh masyarakat Bodi kerana bagi mereka, lembu adalah haiwan suci. Darah ini diambil dengan cara menebuk saluran darah pada leher lembu dan mereka kemudiannya menutup kembali lubang tersebut dengan tanah liat.
Dalam masa sehari, pemuda-pemuda ini perlu meminum dua liter darah lembu bercampur susu. Oleh kerana cuaca yang terlalu panas, darah lembu dalam ‘minuman’ tersebut akan bergumpal dengan pantas. Jadi mereka perlu menghabiskannya dalam masa yang singkat.
Upacara Ka’el bermula
Enam bulan setelah mereka melalui diet ini, tepatnya semasa upacara Ka’el, peserta yang mengambil bahagian akan melumurkan badan mereka dengan debu dan tanah liat putih serta memakai aksesori berwarna-warni di leher dan pergelangan tangan.
Gambar: Daily MailSetelah bersedia, mereka akan berjalan selama berjam-jam mengelilingi ‘pokok suci’ sambil dibantu wanita-wanita dari suku Bodi. Kaum wanita akan membantu memberikan minuman serta mengesat peluh para peserta.
Berjalan mengelilingi pokok suci ini adalah cabaran utama bagi mereka kerana dengan berat badan seperti itu, melakukan ritual ini tidak mudah. Kebanyakan daripada mereka terpaksa berehat beberapa kali sepanjang upacara Ka’el berjalan.
Setelah pemenang dipilih, upacara Ka’el ditutup dengan penyembelihan lembu. Sesudah upacara ini, pemenang akan menyandang gelaran juara seumur hidup mereka walaupun berat badan mereka menurun.
Sumber: Daily Mail