Seorang peniaga wanita di Pasar Windusari, Magelang di Jawa Tengah memiliki kebolehan luar biasa iaitu menggoreng cucur dalam minyak panas hanya dengan menggunakan tangan, lapor Suara Jawa Tengah.
Sri Rejeki, 55, mengakui, bakat istimewanya yang mampu merendamkan tangan ke dalam minyak panas tanpa rasa sakit itu sudah wujud sejak 2017 lalu.
“Masa mula-mula dulu ya agak panas. Sekarang pun (minyak) masih panas tapi taklah macam dulu. Panas sedikit saja, tapi tidak melecur pun,” katanya ketika ditemui pemberita, memetik laporan Suara.com.
Mungkin dianggap mengamalkan amalan khusus supaya jadi kebal, namun sebaliknya ibu kepada tiga anak ini menjelaskan, dia langsung tidak bersandarkan kepada apa-apa ‘rahsia’.
“Saya tidak pakai doa khusus. Yang paling saya (selalu) baca ialah Bismillah, itu saja. Nak mulakan jualan, ya baca Bimillah,” ujarnya.
Difahamkan, tujuan Rejeki sanggup ‘mengorbankan’ tangannya sendiri ke dalam minyak panas adalah semata-mata mahu menarik perhatian pelanggan supaya jualannya ‘laku keras’.
Untuk rekod, pada awalnya Rejeki hanya mampu membuat cucur sebanyak satu kilogram tepung sahaja setiap hari. Namun kini dia sudah mampu menghabiskan kira-kira lima kilogram tepung sehari.
Sedang gigih sara keluarga
Bagaimanapun di sebalik kehebatannya ini yang mengundang minat ramai, Rejeki sebenarnya sedang berusaha gigih menyara keluarga memandangkan keadaan kesihatan suaminya yang merosot kerana menderita strok sejak 12 tahun yang lalu.
Suaminya, Slamet, 60, tidak lagi mampu bekerja dengan kuat seperti dulu. Malah kini hanya menjalankan servis tukar tayar motosikal di rumahnya, namun pendapatannya tidaklah seberapa.
Melalui hasil jualan cucur dengan gaya ‘berani mati’ itulah, Rejeki mampu menanggung pengajian ketiga-tiga anaknya, iaitu Muhammad Andi Suryo Nugroho, Diah Ayu Wulandari dan Muhammad Zulham Saputra.
Difahamkan, Muhammad Andi kini sudah berkeluarga dan menetap di Pekan Baru, Riau. Diah Ayu pula baru sahaja bergraduasi dari Universiti Islam Negeri (UIN) Sunan Kalijaga, Yogyakarta dengan berjaya merangkul ijazah sarjana muda pangkat satu (cemerlang).
Manakala si bongsu, Muhammad Zulham Saputra kini sedang bersekolah di sekolah menengah dan segala kos persekolahan dan perbelanjaannya ditanggung Rejeki menggunakan wang hasil jualan cucur tersebut.
Sumber: Suara Jawa Tengah