makam purba mesir dinasti diraja
Kredit: AFP

Makam Purba Berusia 3,500 Ditemukan Di Mesir, Dipercayai Tempat Persemadian Dinasti Raja Ke-18

Nurhanis

Pihak berkuasa Mesir hari ini mengumumkan penemuan sebuah makam purba di Luxor berusia kira-kira 3,500 tahun yang dipercayai (oleh ahli arkeologi) ia tempat menyimpan jenazah dinasti diraja ke-18, lapor AFP.

Ketua Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir, Mostafa Waziri berkata makam itu telah digali oleh penyelidik Mesir dan British di tebing barat Sungai Nil, di mana terletaknya Lembah Ratu dan Lembah Raja-raja yang terkenal.

“Elemen pertama yang ditemui setakat ini di dalam kubur itu seolah-olah menunjukkan bahawa ia bermula sejak dinasti ke-18, firaun Akhenaton dan Tutankhamun,” katanya dalam satu kenyataan.

Dinasti ke-18, sebahagian daripada tempoh sejarah Mesir yang dikenali sebagai Kerajaan Baru, berakhir pada 1292 Sebelum Masihi dan dianggap antara tahun paling makmur Mesir Purba.

Ketua misi penyelidikan British Piers Litherland dari Universiti Cambridge berkata makam itu berkemungkinan tempat persemadian isteri diraja atau puteri keturunan Thutmosid.

Dalam pada itu ahli arkeologi Mesir Mohsen Kamel berkata bahagian dalam makam tersebut ditemui dalam keadaan buruk.

Menurut kenyataan lembaga antikuiti, Kamel juga memaklumkan sebahagian daripadanya termasuk ‘inskripsi telah dimusnahkan dalam banjir purba yang memenuhi ruang pengebumian dengan pasir dan sedimen batu kapur’.

Mesir telah mendedahkan beberapa penemuan arkeologi utama dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya di nekropolis Saqqara di selatan ibu kota Kaherah.

Penemuan itu telah menjadi komponen penting dalam percubaan Mesir untuk memulihkan industri pelancongan, dan antara yang terpenting ialah perasmian Muzium Besar Mesir yang telah lama tertangguh di kaki Piramid.

Sumber: AFP