Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu dijangka akan diadakan pada jam 2.30 petang esok (16 Jun 2021).
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perbincangan tersebut adalah bagi meneliti pandangan-pandangan yang telah dikemukan oleh para pemimpin parti politik ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong sejak minggu lalu.
Sejak 9 Jun hingga petang hari ini, Baginda Yang di-Pertuan Agong telah berkenan menerima menghadap seramai 18 pemimpin parti politik secara bersemuka dan maya di Istana Negara.
“Perlu diperjelaskan di sini bahawa sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik adalah atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda dan berkaitan dengan usaha-usaha memerangi penularan jangkitan wabak COVID-19 serta pelaksanaannya semasa tempoh Darurat,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, beberapa pakar dari agensi-agensi Kerajaan turut dijadualkan memberi sembah taklimat mengenai hal-hal berkaitan kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara di Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu esok.
Gambar Via Istana NegaraSumber: Istana Negara