Majlis Perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB Kali Ke-30 (TOT MPOB)
1.Pada hari ini, saya telah menyempurnakan Perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB 2024) yang merupakan acara tahunan untuk memperkenalkan teknologi dan inovasi dalam industri sawit untuk pengkomersialan.
2.Sempena TOT MPOB 2024, enam teknologi dan satu perkhidmatan baharu telah diperkenalkan untuk pengkomersialan yang merangkumi kluster bioteknologi, mekanisasi dan automasi, dan oleokimia. Teknologi dan inovasi yang dibangunkan oleh MPOB adalah sejajar dengan perkembangan ekosistem industri sawit serta memperluaskan kegunaan produk berasaskan sawit di pasaran. Inisiatif ini juga menawar peluang kepada usahawan bagi meneroka potensi perniagaan dalam sektor sawit.
3.Teknologi/ inovasi baharu yang diperkenalkan ialah:
a) ‘Siri Klon Sawit 4 (CPS 4)’ yang merupakan bahan tanaman terkini kepada Siri Klon Sawit MPOB yang dihasilkan melalui teknik bioteknologi;
b) ‘Mesin Pemotong Rumput dengan Transmisi Hidrostatik dan Kawalan Radio’ yang merupakan mesin pemotong mekanikal secara kawalan radio untuk kawalan rumpai di ladang sawit;
c)‘Gris Gred Makanan Terbiodegradasi Berasaskan Sawit’ yang diformulasi untuk kegunaan industri makanan bagi mengelak risiko kontaminasi gris berasaskan petroleum;
d)‘Gam Berasaskan Sawit untuk Kawalan Serangga Perosak bagi Kegunaan di Rumah dan Ladang’, merupakan pelekat untuk mengawal serangan serangga perosak;
e)’Minyak Transformer Berasaskan Sawit’ yang merupakan minyak penebat mesra alam berasaskan sawit untuk transformer di rantaian pencawang elektrik;
f)‘Cecair Pencuci Industri Berasaskan Sawit’ yang berfungsi sebagai produk pembasmi kuman dan pencuci yang juga boleh digunakan bagi tujuan sertu;

4.Perkhidmatan baharu yang ditawarkan untuk pengkomersialan – ‘Khidmat Kawalan Perosak Sawit dan Tikus Secara Biologi’. MPOB menyedia khidmat perundingan bagi kawalan tikus secara biologi dengan menyediakan pembinaan tiang berburu (hunting perch) di kawasan sawit.
5.Buat julung kalinya, MPOB memperkenalkan logo ’MPOB TECH’ iaitu cap dagangan (trade mark) berdaftar yang akan digunakan bagi semua teknologi MPOB. MPOB TECH merupakan penjenamaan teknologi dan inovasi MPOB yang membawa reputasi tinggi dan impak positif terhadap pembangunan jenama produk dan perkhidmatan hasil penyelidikan MPOB.
6.MPOB telah mengenal pasti 355 teknologi dalam semua aspek sawit yang berpotensi untuk tujuan pengkomersialan mengikut keperluan industri sawit dan potensi pengkomersialan oleh syarikat tempatan.
7.Sehingga kini, 241 teknologi yang ditawarkan untuk pengkomersialan telah berjaya dikomersialkan oleh penggiat industri dan syarikat termasuk penggiat PMKS.
8.Pada TOT MPOB 2024, MPOB juga telah melancarkan formulasi baja MPOB F2 dan MPOB F6, dan teknologi pengeluaran produk biopestisid mesra alam yang dikenali sebagai Walbac bagi mengawal pembiakan serangga perosak ulat bungkus. Usaha ini adalah hasil kerjasama MPOB bersama syarikat tempatan bagi pembangunan teknologi dan formulasi produk.
9.Dengan penglibatan lebih banyak syarikat dalam pengkomersialan baja formulasi MPOB, pengusaha ladang dan pekebun kecil sawit mempunyai lebih pilihan untuk mendapatkan bekalan baja berkualiti bagi peningkatan hasil sawit.
10.MPOB turut mengadakan perjanjian dengan syarikat bagi pelesenan dan pengkomersialan formulasi dan teknologi seperti berikut:
Formulasi baja MPOB F2 dan formulasi baja MPOB F6
Kaedah penghasilan komposisi bod (papan) serat terarah (strand board)– Formulasi cecair bakteria endofilik: iM-bioguard
Palm based Food Grade Biodegradable Calcium Complex Grease.
11.MPOB turut menjalin kerjasama dengan syarikat Glide Technology Sdn Bhd bagi pengkomersialan teknologi Minyak Transformer Berasaskan Sawit melalui penyerahan surat hasrat (LOI). Teknologi minyak transformer berasaskan sawit merupakan produk mesra alam yang memenuhi spesifikasi industri dan meningkatkan keselamatan operasi pencawang elektrik.