KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), memperkenalkan program Kasih Asnaf ‘Back to School’ – Pilih & Pulang, untuk memudahkan golongan asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, kembali ke sekolah pada tahun baharu 2021.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Akbar Samon berkata, inisiatif yang bermula pada 23 Dis 2020 dan diteruskan sehingga 30 Apr 2021, akan membolehkan para pelajar daripada keluarga asnaf mendapatkan pakaian dan peralatan persekolahan, bagi sesi persekolahan tahun 2021.
“Setiap pelajar asnaf yang terpilih menerima antara RM250 hingga RM400 dan mereka boleh membuat pembelian di 46 buah pasar raya atau kedai terpilih di tiga Wilayah Persekutuan itu, tanpa perlu memikirkan mengenai bayaran.
“Pelajar asnaf akan pilih sahaja barangan berdasarkan senarai yang disediakan dan bayaran akan dibuat oleh pembayar zakat, yang menunaikan zakat menerusi Pusat Pungutan Zakat MAIWP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Datuk Akbar berkata program ini melibatkan jumlah peruntukan zakat sebanyak RM9.13 juta kepada 27,246 orang pelajar sekolah rendah dan menengah, bagi memberi peluang kepada mereka merasai pengalaman dan kegembiraan membeli barangan sekolah, tanpa perlu risau tentang bayaran.
Beliau memaklumkan mereka yang layak akan menerima surat makluman daripada MAIWP, atau pun boleh menyemak status mereka, di laman web: ebaitulmal.maiwp.gov.my.
— BERNAMA