
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansur
Mahkamah Tinggi KL mendengar permohonan Rosmah supaya Hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kes projek hibrid solar, berikutan dakwaan berlaku kebocoran dokumen penghakiman kes beliau yang disediakan pihak lain dan ditularkan di media massa dan elektronik, 26 Ogos lepas.
Pengamal media mula memenuhi perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi membuat liputan keputusan perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansur berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Pada 18 Feb tahun lepas, Rosmah, 70, diarahkan membela diri ke atas tiga pertuduhan dihadapinya setelah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Rosmah, berhadapan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.
Rasuah terbabit didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.
Sumber: BERNAMA