banduan dibicara semula
Kredit: AFP

Bukti Kes Disyaki Direka, Banduan Jalani Hukuman Mati 50 Tahun Dibicara Semula

Nurhanis

Bukti Kes Disyaki Direka, Banduan Jalani Hukuman Mati 50 Tahun Dibicara Semula

Mahkamah Tinggi Tokyo pada Isnin memerintahkan perbicaraan semula terhadap banduan berusia 87 tahun yang disabit bersalah atas kesalahan membunuh dan dikenakan hukuman mati selama lebih 50 tahun.

Lapor CBS News, Mahkamah Tinggi Tokyo berkata bekas peninju profesional yang mendapat hukuman mati paling lama di dunia itu layak dibicarakan semula.

Persatuan Peguam Jepun berkata tindakan itu dibuat kerana berkemungkinan bukti utama yang membawa kepada sabitannya telah direka oleh penyiasat.

Banduan itu disabitkan dengan kesalahan membunuh dalam kes pembunuhan seorang pengurus syarikat dan tiga ahli keluarganya pada 1966 serta membakar rumah mereka.

Pada permulaan siasatan, dia menafikan tuduhan itu tetapi kemudian mengaku selepas dipaksa oleh polis.

Rayuannya telah ditolak dan Mahkamah Agung mengambil masa 27 tahun untuk menolak rayuan pertamanya untuk perbicaraan semula.

Dia memfailkan rayuan kedua pada 2008 dan mahkamah akhirnya memutuskan keputusan memihak kepadanya pada Khamis.

BACA: Banduan Lari Dari Pusat Koreksional Jasin Berjaya Ditangkap

Berlaku pertikaian bukti, banduan layak dibicara semula

Perkara yang menjadi pertikaian adalah berkenaan dengan pakaian lelaki itu, iaitu lima helai pakaian berlumuran darah yang dipakai semasa melakukan jenayah.

Pakaian itu disembunyikan di dalam tangki pes kacang soya yang ditapai atau miso dan ditemui lebih setahun selepas penahanannya.

Keputusan Mahkamah Tinggi Tokyo pada hari Isnin mengakui ia berkait rapat dengan eksperimen saintifik.

Pakaian yang direndam dalam miso selama lebih daripada setahun menjadi terlalu gelap untuk kesan darah dikesan.

Menurut mahkamah, kemungkinan besar bukti itu telah direka oleh penyiasat.

Peguam bela dan keputusan perbicaraan semula sebelum ini berkata sampel darah itu tidak sepadan dengan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) lelaki tersebut.

Selain itu, seluar yang dikemukakan oleh pendakwa raya sebagai bukti adalah terlalu kecil saiznya.

Penyiar kebangsaan NHK berkata, hakim mahkamah Fumi Daizen bagaimanapun meragui kredibiliti pakaian itu sebagai bukti.

“Tiada bukti selain pakaian yang boleh menentukan tertuduh adalah pelaku,” kata hakim memetik NHK.

Telah keluar daripada penjara tapi masih ada pertuduhan

Difahamkan, dia telah keluar dari penjara tetapi masih tidak dibebaskan daripada tuduhan sejak 2014 apabila Mahkamah Daerah Shizuoka di tengah Jepun menggantung pelaksanaannya dan memerintahkan perbicaraan semula serta pembebasannya.

Keputusan itu telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Tokyo sehingga Mahkamah Agung pada 2020 memerintahkan mahkamah untuk menimbang semula.

“Saya menunggu hari ini (Isnin) selama 57 tahun dan ia telah tiba. Akhirnya satu beban telah diangkat dari bahu saya,” kata kakaknya yang berusia 90 tahun.

Sumber: CBS News