maha 2024
Sumber : BERNAMA
Tiada Kategori

MAHA 2024 Tampil Dengan Pelbagai Tarikan Baharu Sempena 100 Tahun

Nurul Naqiyah

MAHA 2024 Tampil Dengan Pelbagai Tarikan Baharu Sempena 100 Tahun

PUTRAJAYA, 9 SEPTEMBER 2024 – Lapan fokus utama dan enam tarikan baharu di MAHA 2024 bersempena dengan sambutan 100 tahun MAHA bakal menjadikan edisi kali ini antara penganjuran paling berprestij dan bersejarah.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu pihaknya optimis dan bersiap sedia untuk menerima tiga juta pengunjung yang disasarkan pada penganjuran kali ini bersempena 100 Tahun MAHA.

Tambah beliau pihaknya juga berharap MAHA 2024 akan menjadi platform untuk mengeksplorasi potensi dan inovasi sektor pertanian yang bukan sahaja maju dan berteknologi tinggi, malah berdaya saing serta mampan dalam memacu ekonomi negara.

Dengan tema “Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom”, yang mencerminkan aspirasi dan matlamat KPKM untuk menuai kejayaan di masa hadapan dengan usaha dan inovasi yang diterokai pada hari ini.

Selain sasaran tiga juta pengunjung, MAHA edisi kali ini juga turut meletakkan beberapa sasaran lain antaranya RM6 bilion nilai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA), RM40 juta nilai jualan langsung, RM600 juta potensi pembiayaan dan padanan perniagaan melalui jangkaan 4,000 permohonan dan 10 juta capaian media.

Meraikan 100 tahun penganjuran, MAHA edisi 2024 juga akan memberi penekanan kepada elemen yang mengangkat MAHA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan dan penyertaan daripada pelbagai negara menerusi segmen MAHA Go Global.

Menerusi segmen MAHA Go Global, KPKM telah mempromosikan MAHA Go Global kepada negara-negara luar bagi turut serta mempamerkan teknologi pertanian, memadan perniagaan bersama usahawan tempatan di samping membuka peluang potensi pelaburan kepada sektor agromakanan negara.

Sehingga kini 16 negara telah mengesahkan penyertaan antaranya Japan, Thailand, Brunei, Indonesia, Hong Kong dan beberapa negara Eropah.

maha 2024
Sumber : BERNAMA

MAHA Go Global bertindak sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dalam sektor pertanian dan hortikultur, meningkatkan eksport dan menggalakkan inovasi. Ia merupakan platform yang berharga untuk profesional industri bagi membina rangkaian, belajar dan meneroka peluang perniagaan baharu.

Tiga hari pertama iaitu 11 hingga 13 September 2024 dibuka khusus untuk komuniti perniagaan (B2B) di Dewan C dan bagi lain- lain segmen dibuka untuk dilawati oleh semua bermula 11 hingga 22 September 2024.

Menerusi penganjuran MAHA 2024 sebanyak lapan fokus utama turut disasarkan iaitu Sambutan 100 Tahun MAHA, Pertanian, Kelestarian, Modal Insan MADANI, Teknologi, Agro Pelancongan, MAHA Go Global dan Pelaburan.

Selain itu terdapat beberapa tarikan baharu yang akan menarik perhatian pengunjung iaitu Magical At Night and Water Show, Kids Attraction, Rhythm of Farmers, Agro Fit, Sunflower Garden dan juga Floating Market. Turut disediakan ruang glamping, motorhome dan sebagainya.

MAHA 2024 akan berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 September ini dan akan menampilkan 48 segmen menarik melibatkan aktiviti pameran dan jualan meliputi seluruh ekosistem berkaitan rantaian nilai agromakanan.

Ada elemen yang bersifat konvensional dan ada suntikan baharu khususnya untuk menarik penyertaan golongan muda untuk hadir beramai-ramai.

Segmen bagi dalam dewan yang ada antaranya Agro-Tech, Agro-Lifestyle, Agro-Tourism dan Agro-Youth. Bagi segmen pameran atau jualan pula ialah Agro-Food Padi, Agro-Food Florikultur, Agro-Food Nanas, Agro-Food Sayuran & Herba dan Agro-Food Ternakan.

Terdapat juga 13 pavilion negeri, yang masing-masing mempunyai reka bentuk yang unik. Pavilion-pavilion negeri ini dijangka menampilkan ciri-ciri negeri-negeri di Malaysia termasuk keunikan kesenian budaya, pusat tarikan pelancongan, produk dan makanan yang boleh dinikmati oleh pengunjung.

Pelbagai kemudahan turut disediakan kepada pengunjung dengan ada antaranya yang telah ditambah baik berbanding sebelum ini. Antara kemudahan yang ditambah baik ialah laluan pejalan kaki berbumbung sejauh 1.1 kilometer (km) sebagai usaha untuk memberi lebih keselesaan kepada orang ramai.

Bas perantara secara percuma disediakan kepada pengunjung di beberapa lokasi antaranya di stesen Transit Aliran Masa (MRT) UPM, Putrajaya Wetland, IOI City Putrajaya.

Turut disediakan 10 unit tram, empat unit trektor dan gerabak, 30 unit bas, kemudahan motosikal bersama penunggang, buggy dan tidak lupa kepada pengunjung orang kurang upaya (OKU) di mana disediakan parkir laluan masuk di Pintu 1 dan 2, kemudahan asas seperti tandas dan surau, tempat makan dan sebagainya turut disediakan

Melangkaui satu abad penganjuran MAHA yang diperkenalkan sejak tahun 1923, mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan telah berevolusi melalui pelbagai peringkat hinggalah ianya wujud dalam bentuk dikenali pada hari ini.

MAHA telah menjadi pameran sektor pertanian yang sentiasa dinanti oleh segenap lapisan masyarakat kerana membawa elemen teknologi terkini dan penekanan pameran bersifat interaktif dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara.

MAHA 2024 juga diharap bakal memberi peluang dan ruang kepada masyarakat peladang, penternak dan nelayan melalui ekspo yang berlangsung sama ada melalui pemerhatian dan pembelajaran dalam teknologi baharu pertanian, mencari ruang pasaran, mempamer serta mempromosi produk masing-masing.