
Macam “Real”, Youtuber Bina “Mini Subway” Untuk Kucing Peliharaan
Kucing merupakan salah satu haiwan peliharaan yang paling digemari di seluruh dunia. Ini kerana sifatnya yang manja, jinak dan comel menjadikan kucing mudah mendapat tempat dalam hati manusia.
Lain daripada itu, ia turut mempunyai keistimewaan sendiri seperti beradaptasi dengan persekitaran dan tingkah lakunya yang menghiburkan.
Selain pandai mencari makanan atau menjaga kebersihan diri sendiri, kucing juga bijak memahami rutin harian dan mengurangkan tekanan pemiliknya. Tidak hairanlah sekiranya ramai pemilik kucing sanggup berbelanja besar atau membuat apa sahaja demi si comel ini.
Lelaki bina ‘mini subway’ untuk kucing peliharaannya
Seorang Youtuber berjaya mencuri perhatian dunia apabila membina stesen kereta api bawah tanah “mini” untuk kucing-kucing baka Maine Coonnya.
Menerusi video yang dimuat naik di saluran Xing’s World yang memiliki ratusan ribu pengikut, Xing turut berkongsi keadaan stesen kereta api bawah tanah yang kelihatan seakan-akan ‘hidup’.
Difahamkan, idea pembinaan stesen kereta api bawah tanah khas itu dilakukan selepas menerima permintaan orang ramai, namun projek tersebut mengambil masa empat bulan untuk disiapkan sebelum beroperasi dengan lancar.
“Pada awalnya, terdapat dua perkara yang saya tidak dapat selesaikan iaitu bagaimana untuk membuka pintu kereta api dan pintu platform secara serentak selepas kereta api tiba di stesen
“Kedua ialah macam mana membina eskalator yang berfungsi,” ujar Xing.
Xing bina pelbagai projek untuk haiwan peliharaannya
Bagaimanapun, masalah tersebut tidak menghalangnya daripada meneruskan projek itu kerana yakin mampu mengatasi segala cabaran dan kesulitan.
Siapa sangka, hasil akhir projeknya kelihatan nyata dan lengkap dengan kata-kata aluan untuk “penumpang” yang baru tiba. Lebih menarik, Xing kelihatan seperti ‘gergasi’ apabila duduk bersila di dalam stesen berkenaan.
Sebelum ini, dia pernah menghasilkan pelbagai projek untuk haiwan peliharaannya, termasuk sebuah Cybertruck, spa, motosikal empat roda (‘Cyberquad’), pasar raya, garaj dan teater.
Dalam salah satu projeknya, dia juga membina 100 tempat perlindungan kucing berpenebat dalam masa hanya 48 jam bagi menempatkan kucing jalanan di kawasan tempat tinggalnya.
Sumber: @xingzhilei via Youtube