
Membersihkan rumah adalah perkara yang jarang menjadi aktiviti yang disukai oleh ramai orang. Walau bagaimanapun, ia tetap perlu dilakukan untuk memastikan persekitaran rumah sentiasa berada dalam keadaan bersih, kemas dan segar dalam waktu yang sama mengelak dari sebarang penyakit yang berpunca dari pelbagai virus.
Salah satu kawasan yang menjadi tempat terkumpulnya debu adalah di bahagian celahan-celahan perabot dan juga pada bilah kipas siling. Debu sering kali dilihat terkumpul dengan agak tebal pada bahagian tersebut hingga menyebabkan kipas terasa pusing perlahan.
Namun, yang menjadi persoalah adalah bagaimana debu boleh terkumpul dengan begitu banyak sedangkan kipas itu sentiasa bergerak.

Memetik Knows Why, salah satu punca debu adalah ia berasal daripada kulit manusia itu sendiri dan beribu-ribu molekul kepingan kulit manusia jatuh dari badan manusia setiap minit.
Berbalik kepada debu pada kipas siling, pusingan bilah kipas telah menghasilkan satu lingkaran angin ke bawah dan menyebarkan habuk ke seluruh ruangan dan sebahagian darinya terkumpul pada bilah kipas dan tidak berganjak. Zarah debu melekat pada permukaan kipas menerusi tarikan molekul.
Oleh itu, di sebalik putaran kipas, terdapat satu daya lekatan yang kuat untuk membuatkan ia terus berada di situ. Zarah pada habuk juga membawa ‘cas’ yang akan menarik habuk-habuk lain melekat antara satu sama lain. Ia dapat dilihat menerusi bahagian tepi bilah kipas dimana kawasan habuk yang paling tebal.
Apabila bilah bergerak melalui atmosfera ‘berdebu’, zarah-zarah debu akan melekat padanya. Dari masa ke semasa, ia akan menarik lebih banyak debu-debu yang berterbangan dan lapisan tersebut akan berkembang dan menebal. Manakala pada bahagian bawah, debu yang melekat adalah lebih nipis kerana interaksi dengan habuk agak kurang.


Menurut Knows Why, ia merupakan gabungan molekul antara kipas, zarah debu dan cas elektrik zarah debu yang menyebabkan kipas siling menjadi kotor. Hal ini merupakan fenomena semula jadi dan tidak ada apa yang boleh dilakukan selain membersihkannya secara berkala.
BACA: Gadis Tionghua Hidupkan Seni Melayu, Diangkat Jadi Cikgu Zapin Di Negara China
Sumber: Knows Why