
Macam Dekat Restoran, Ini Resipi Mudah “Crispy Black Pepper Chicken”
Kini, ramai yang lebih gemar membeli makanan di luar berbanding memasak sendiri di rumah.
Selain faktor masa, ada juga yang beranggapan bahawa masakan ala restoran memerlukan bahan yang banyak, rumit dan sukar untuk disediakan.
Hakikatnya, banyak hidangan yang kelihatan mewah sebenarnya boleh disediakan dengan cara yang ringkas.
Justeru, kali ini SK akan kongsikan satu resipi “crispy black pepper chicken” daripada pengguna akaun TikTok @bynursyuu yang mudah untuk disediakan di rumah.
Menurut @bynursyuu, untuk menyediakan ayam crispy, gunakan tiga keping ayam bahagian dada.
Seterusnya, sediakan tiga sudu besar tepung goreng ayam perisa pedas, tiga sudu besar tepung jagung serta sedikit air untuk dijadikan adunan basah.
Selain itu, sediakan juga tepung goreng ayam sebagai salutan kering.

Sebagai pelengkap hidangan, sediakan minyak untuk menggoreng, bawang putih yang dicincang halus, lada benggala merah dan hijau yang dipotong dadu serta bawang holland yang dihiris.
Bagi penyediaan sos lada hitam, diperlukan lima sudu besar sos lada hitam, dua sudu besar kicap lemak manis dan satu sudu besar minyak bijan.
Kemudian, sediakan sedikit air serta setengah sudu besar tepung jagung untuk memekatkan sos.
Dalam video @bynursyuu, dia memulakan penyediaan dengan memasukkan ayam bahagian dada yang telah dipotong dadu ke dalam sebuah mangkuk.
Kemudian, masukkan tepung goreng ayam perisa pedas, tepung jagung dan sedikit air. Seterusnya, gaulkan sehingga adunan menjadi pekat dan sekata.

Selepas itu, sediakan tepung goreng ayam di dalam pinggan berasingan.
Ambil ayam yang telah disalut adunan pekat tadi dan gaulkan satu persatu ke dalam tepung kering sehingga bersalut rata.
Panaskan minyak di dalam kuali, kemudian goreng ayam sehingga bertukar warna kuning keemasan. Setelah masak, angkat dan ketepikan.

Untuk menyediakan sos, @bynursyuu dalam videonya menyatukan sos black pepper, kicap lemak manis, minyak bijan, air dan tepung jagung di dalam satu mangkuk, lalu gaulkan sehingga sebati.
Seterusnya, panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bawang putih yang telah dicincang sehingga naik bau.

Kemudian, masukkan lada benggala bersama bawang holland dan tumis sebentar sehingga sedikit layu.
Akhir sekali, masukkan sos lada hitam yang telah disediakan tadi, diikuti ayam goreng. Gaul sehingga semua bahan bersalut rata dengan sos, dan “crispy black pepper chicken” sedia untuk dihidang.
Sumber: @bynursyuu