Susulan fenomena luruan monsun di Malaysia sejak akhir tahun lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fenomena tersebut berakhir esok.
Menurut ramalan cuaca signifikan terkini yang dikeluarkan oleh MetMalaysia jam 4 petang tadi, pembentukan awan hujan aktif di Laut China Selatan dan Laut Sulu bagaimanapun masih berpotensi menyebabkan hujan berterusan di beberapa kawasan.
Kawasan-kawasan terlibat hujan berterusan termasuk utara Sabah, Pantai Timur dan selatan Semenanjung. Manakala kawasan-kawasan lain yang tidak tersenarai dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang hingga malam.
Pada masa yang sama, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat buruk dan waspada terhadap enam buah negeri sehingga esok. Negeri-negeri terkesan adalah Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu dan Sabah.
Sementara itu, beberapa perairan termasuk di timur Johor, Sarawak dan Sabah kemungkinan dibadai angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, kedua dan ketiga hingga 4 Janurai 2022.
Pun begitu, cuaca di bahagian Semenanjung Malaysia diperkirakan akan beransur baik bermula 5 Januari 2022.
Sumber: MetMalaysia