Gambar Hiasan via Stomp

Luluh Hati Seorang Ibu, Wanita Pengsan Setelah Ketahui Anaknya Didakwa Merogol 19 Orang Gadis

Aqmal Ezany

Seorang wanita di Singapura jatuh pengsan di pusat penjaja di mana tempatnya bekerja sebagai tukang masak kerana terkejut selepas mendapati bahawa anaknya didapati bersalah atas tuduhan merogol 19 gadis, lapor Stomp.

Pada 12 Jun lalu, tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara 22 tahun dan 24 sebatan selepas mahkamah memutuskan bahawa tertuduh bersalah atas kesalahan melibatkan perbuatan rogol.

Hakim Mahkamah Tinggi Chan Seng Onn menyatakan bahawa kes ini adalah “salah satu kes jenayah seksual yang paling buruk dan mengerikan”pernah dibicarakan di mahkamah tersebut.

Wanita yang merupakan ibu kepada tertuduh itu memberitahu kepada akhbar The New Paper bahawa dia tahu bahawa anaknya itu melanggar undang-undang, namun anaknya itu enggan memberikan perincian berkenaan kesalahan yang dibuatnya.

“Ketika anak saya bakal mengetahui hukumannya, dia memberitahu kepada saya untuk tidak hadir ke mahkamah kerana dia takut saya akan pengsan. Saya hanya mendapat tahu kesemuanya selepas berita berkenaan kesnya diterbitkan,” ujarnya.

“Saya menjadi buntu lalu pengsan selepas bos saya membacakan perenggan pertama berita tersebut.”

Sambil menangis, dia menambah: “Bayangkan jika anda mengetahui bahawa anak lelaki anda baru sahaja dijatuhkan hukuman penjara selama 22 tahun kerana menjadi pemangsa seksual.”

Sejak dari itu, dia berkata, jirannya mula memandang serong ke atasnya.

Saudara-mara serta rakan-rakannya mula menjauhi dan menyalahkannya kerana gagal menjadi ibu yang baik.

Wanita tersebut turut menyatakan bahawa dia sedang berada dalam kesusahan selepas anaknya yang berusia 21 tahun menjadi lelaki terbaru dalam hidupnya yang terpaksa menghabiskan sisa hidup di dalam penjara.

Dia baru sahaja berusia 15 tahun semasa dia mula melakukan serangan seksual pertamanya pada April 2015.

Salah seorang daripada mangsa anaknya yang merupakan gadis bawah umur dilaporkan hamil dan telah melahirkan seorang bayi perempuan. Di antara gadis-gadis yang dirogolnya di flat dua bilik yang dia tinggal bersama ibunya itu adalah seorang gadis berusia 18 tahun dengan kecacatan intelektual ringan dan seorang remaja bawah umur yang berusia 13 tahun.

Wanita itu menambah dengan menyatakan bahawa anaknya sering berada di rumah berseorangan kerana dirinya selalu bekerja lebih waktu, namun dia tidak pernah membayangkan yang anaknya itu akan melakukan perkara sedemikian di rumah mereka.

Menurutnya, anaknya itu adalah seorang budak pendiam yang tidak banyak meluahkan perasaan walaupun masih kecil.

Dengan memerhatikan mengapa anaknya itu sering memendam perasaan, dia menyatakan bahawa sebelum ini dia mempunyai hubungan yang tidak baik bersama dengan bapa kepada anaknya itu, suami pertamanya.

“Anak saya adalah seorang pelajar yang bagus, tetapi saya tahu bahawa jauh di sudut hatinya, dia menyimpan perasaan marah terhadap ayahnya itu.”

Bekas suami serta suaminya yang sekarang, kedua-duanya berada di penjara kerana kesalahan berkaitan dadah, dan anak bongsunya pula kini sedang berada di pusat pemulihan akhlak sehingga Julai depan kerana terlibat dengan aktiviti pinjaman wang haram.

Dia yang kini tinggal bersendirian menambah: “Sebagai seorang ibu, kadang-kadang saya merasakan bahawa saya telah gagal. Namun pada masa yang sama, banyak benda yang saya boleh lakukan.”

Dia menyatakan bahawa anaknya itu pernah bercampur dengan pengaruh buruk semasa anaknya belajar di kolej.

Gambar Hiasan

Seorang bekas rakan karib kepada anaknya memberitahu kepada TNP bahawa tertuduh adalah seorang yang ramah dan popular dalam kalangan gadis-gadis ketika mereka di bangku persekolahan.

Tetapi mereka kemudiannya menjadi tidak sehaluan selepas kawannya itu mula bergaul dengan orang yang salah dan menjadi anti-sosial, tambah rakannya itu.

Menurut ibu kepada tertuduh itu, anaknya akan hilang selama berhari-hari dan tidak dapat dihubungi. Kedua-dua anaknya sering merahsiakan kehidupan mereka daripadanya.

Dia kemudiannya mengatur untuk bercakap dengan anaknya di penjara melalui telefon, di mana anaknya itu akhirnya memberitahu tentang kesalahannya dan meminta ampun darinya.

“Saya memberitahu kepadanya bahawa saya akan memaafkannya tetapi dia mesti berubah. Dia anak saya. Saya tidak boleh tinggalkannya jadi saya perlu memaafkannya.”

Tambahnya, dia mungkin memerlukan masa untuk memaafkan perbuatan yang dilakukan anaknya itu, walaupun dia tidak akan pernah memahami mengapa anaknya itu sanggup melakukan perbuatan terkutuk tersebut.

“Semua lelaki dalam hidup saya yang seharusnya menjaga saya telah mengecewakan saya,” ujarnya dengan nada sedih.

Sumber: Stomp