Isu penutupan sekolah berikutan kenaikan kes positif COVID-19 akhir-akhir ini ‘kembali’ menerjah ruang pemikiran warga maya. Disebabkan itu, ramai yang beranggapan bahawa langkah terbaik ketika ini adalah menutup sekolah.
Kalau korang nak tahu, baru-baru ini kami di Siakap Keli juga ada menerima surat kiriman daripada salah seorang pembaca setia. Insan ini meluahkan pandangan peribadinya mengenai isu penutupan sekolah yang semakin hari semakin hangat diperkatakan.
Ada yang setuju, sebab pada mereka pelajar adalah kelompok berisiko tinggi terdedah dengan virus. Maka alternatif yang dipilih adalah belajar secara online dari rumah. Tapi ada pula yang tak setuju, kata mereka bukan semua pelajar mampu.
Taknak bercerita panjang, jom semua dijemput baca luahan pandangan pembaca di bawah ni. Mungkin ada sesuatu yang kita akan dapat dan fahami.
Suasana pandemik COVID-19 yang agak ‘rakus’ menghimpit kehidupan turut menekan dunia pendidikan negara kita. Sehingga hari ini, entah berapa kali sekolah terpaksa ditutup, dibuka, ditutup dan dibuka kembali. Perlu difahami, terdapat dua golongan yang dikaitkan dalam situasi ‘genting’ begini. Pertama, ibu bapa yang berpendapatan tinggi dan kediaman mereka dilengkapi dengan semua kemudahan telekomunikasi, manakala anak-anak pula sudah disediakan alat peranti.
Umumnya, jika segalanya sudah lengkap, maka untuk menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR), ia bukanlah menjadi satu masalah besar buat mereka. Namun, situasi ini agak berbeza dengan golongan kedua iaitu ibu bapa yang mungkin berpendapatan rendah serta taraf hidup sederhana. Rumah mereka hanya dilengkapi barangan asas sahaja, itupun serba kekurangan.
Dalam masa sama, keluarganya besar dan mempunyai bilangan anak yang ramai. Sudah tentu ruang rumah yang kecil itu tidak begitu kondusif untuk si anak menjalani PDPR dengan sempurna. Malah boleh dikatakan, ada sebilangan besar golongan kedua ini tidak mampu menyediakan akses internet untuk anak mereka, apatah lagi membelikan alat peranti seperti telefon pintar dan komputer riba.
Di sebalik kekurangan ini, anak-anak ini masih ada semangat yang tinggi untuk menimba ilmu. Cuma kekangan taraf kehidupan menjadikan impian itu terbantut. Maka adakah keputusan menutup sekolah dan jalani PDPR ini boleh dilihat adil untuk semua?
Terdapat beberapa impak buruk yang mungkin akan terjadi sekiranya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan untuk menutup sekolah di kala pandemik COVID-19 yang masih belum reda kini. Jika sekolah ditutup, boleh jadi jurang perbezaan taraf antara anak-anak golongan berkemampuan ini dengan yang sebaliknya akan menjadi lebih besar. Ini dipercayai bakal mencalarkan nilai keharmonian sesama insan yang sepatutnya diterapkan sejak di bangku sekolah lagi.
Selain itu, risiko lebih mudarat akan berlaku apabila ibu ayah golongan kedua ini menyedari bahawa walau apa yang berlaku sekalipun, mereka tetap harus keluar mencari rezeki. Maka anak-anak di rumah mungkin akan terabai tanpa dipantau. Manakala daripada sudut pandang anak-anak ini pula, sekolah bukan lagi dianggap sebagai gedung ilmu, malah ianya merupakan satu simbolik ‘escapism’ daripada segala kekurangan di sekolah.
Selain itu, antara salah satu ‘teori’ yang mungkin dipercayai sesetengah orang awam sebelum ini adalah apabila sekolah ditutup, maka rantaian jangkitan COVID-19 akan dapat dikurangkan. Berdasarkan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 21 April baru-baru ini, sebanyak 39 kluster sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM yang melibatkan kira-kira 1,420 kes telah berjaya direkodkan setakat hari ini.
Lihat angka ini betul-betul. 39 kluster berbanding 10,000 buah sekolah di bawah KPM, iaitu hanya 0.39 peratus. Terdapat 1,420 kes berbanding 5 juta murid campur 500,000 guru di bawah kendalian KPM iaitu hanya 0.02 peratus. Lihat lagi peratusan berikutnya. Daripada setiap 100 kes di sekolah kendalian KPM, tidak sampai 30 kes adalah jangkitan dalam di dalam sekolah, manakala lebih 70 peratus kes jangkitan lagi adalah berpunca daripada ibu bapa murid atau pasangan kepada guru, saudara-mara terdekat, pusat tuisyen dan lain-lain aktiviti keluarga di rumah.
Cuba lihat perbandingan peratusan antara kedua-dua pihak ini, iaitu 30 peratus jangkitan dalam sekolah dan 70 peratus di luar sekolah. Faham, jika sekolah ditutup, KPM mungkin mampu menyelesaikan 30 peratus jangkitan antara pelajar. Tapi perlu diingat, biarpun 30 peratus sudah selamat di sekolah, namun anak-anak ini masih lagi berisiko terdedah dengan punca jangkitan lain di luar sebanyak 70 peratus. Ternyata, di luar lebih berbahaya.
Bahkan 70 peratus itu juga dipercayai boleh meningkat lebih tinggi dan ini semestinya tidak akan menyelesaikan masalah. Murid selamat ‘terhindar’ di sekolah, tapi dalam masa, lebih terdedah dengan bahaya di luar pula. Bak kata pepatah, terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan sebahagian pelajar daripada golongan kurang berkemampuan tadi akan tercicir dalam pembelajaran mereka, sekaligus mendedahkan mereka dengan masalah sosial yang lebih bahaya kesannya.
Kesimpulannya, tindakan menutup sekolah ketika ini bukanlah satu jalan penyelesaian. Sebagai ibu bapa dan orang awam, mungkin kali ini daya pemikiran yang kritis dan kritikal dalam menentukan keputusan terbaik amat dituntut ketika ini. Menutup sekolah tidak akan mengubah apa-apa. Sebaiknya, ‘pulanglah’ ke dasar yang digariskan KKM. Patuhilah prosedur operasi standard (SOP). Hanya itulah satu-satunya cara yang kita ada untuk mendepani tempoh wabak yang entah bila akan berakhir nanti.
Fakhri, 27 April 2021.