
Luah Rasa Syukur, Nora Danish Mohon Doa Ramai
Orang selalu kata, perjalanan hijrah bukan sesuatu yang mudah. Ia penuh cabaran, ujian dan memerlukan kekuatan hati yang luar biasa.
Namun, setiap manusia di dunia ini sedang melalui perjalanan masing-masing. Kita tidak pernah sempurna, tetapi setiap hari kita berusaha untuk menjadi versi terbaik diri sendiri.
Itulah yang sedang dilakukan oleh pelakon jelita, Nora Danish, yang sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi langkah besar dalam hidupnya.
“A new chapter, Bismillah…,” tulis Nora ringkas menerusi perkongsian di Instagram Story.
Dalam perkongsian itu, Nora mendedahkan bahawa dirinya kini sedang memadam kesemua gambar lama tanpa hijab di akaun media sosialnya.
Jumlah yang dipadam bukan sedikit, malah mencecah 24,000 keping gambar dan menurutnya, bahkan hingga kini proses itu masih diteruskan.
“Kami telah memutuskan untuk memadam semua gambar lama saya tanpa hijab. Ini adalah satu langkah menuju diri wanita yang saya impikan.
“Saya tidak menafikan masa lalu saya, tetapi saya memilih untuk menerima dan menghargai masa kini saya dengan berhijab.
“Doakan saya agar terus istiqamah, dan semoga Allah membimbing kita semua dalam perjalanan hidup masing-masing,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Nora turut meluahkan rasa syukur kerana diberi kekuatan untuk melengkapkan lagi langkah hijrahnya.
“Saya percaya hijrah ini adalah perjalanan berterusan, bukan sesuatu yang berlaku sekelip mata. Saya masih belajar, masih mencari kekuatan.
“Alhamdulillah, Allah mampukan saya untuk melengkapkan lagi langkah hijrah ini, dengan membuang gambar-gambar lama. Ia sebahagian daripada usaha saya untuk istiqamah.
“Hijrah saya bukan tentang ‘sempurna’, tapi tentang jadi lebih baik setiap hari. Doakan,” katanya.
BACA: Bukan Biasa-Biasa, Cerita Pasal Tokti Ada Dalam Buku Teks Sekolah Filipina
Sumber: Instagram @noradanish