
Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang tergendala sejak petang Selasa lalu dilaporkan akan kembali beroperasi sepenuhnya pada 14 November (esok) bermula 6 pagi.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata perkhidmatan itu beroperasi dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan setelah diberikan kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
“Kini kami boleh kembali memberi perkhidmatan sebaiknya kepada seluruh warga kota. Pemantauan sistem akan diteruskan bagi memastikan ia kekal stabil agar perkhidmatan dapat dijalankan dengan selamat.
“Kami sekali lagi menekankan bahawa keputusan yang diambil adalah demi keselamatan pengguna. Pembukaan penuh perkhidmatan lebih awal daripada jadual ini diharap dapat mengurangkan kesulitan yang dilalui pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kelulusan yang diberikan oleh APAD membawa khabar gembira setelah sebahagian daripada LRT Laluan Kelana Jaya digantung perkhidmatannya.
Dalam pada itu, bagi memahami keluhan rakyat, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan turut memberi pampasan kepada pengguna LRT Kelana Jaya dengan memberikan perjalanan percuma selama tujuh hari bermula 14 November hingga 20 November ekoran dengan masalah yang berlaku.
Bagi pengguna My50, pengguna akan merasai perjalanan percuma selama tujuh hari selepas memperbaharui pas yang telah tamat tempoh.
Selain itu, bagi pengguna My50 yang telah tamat tempoh antara Isnin 14 November hingga Ahad 20 November, mereka boleh menggunakan pas seperti biasa tanpa sebarang caj.
Sementara itu, pengguna Touch ‘n Go (TnG) juga boleh menggunakan kad seperti biasa selama tujuh hari dengan syarat destinasi mula atau akhir adalah di mana-mana stesen Laluan Kelana Jaya.
Manakala semua pengguna yang menggunakan token bagi perjalanan mereka turut layak menikmati tambang percuma pada tarikh yang ditetapkan dan perlu pergi ke Pejabat Khidmat Pelanggan bagi mendapatkan token khas perjalanan sehala berserta syarat.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi [email protected] atau hubungi di talian 03-7885 2585 pada Isnin hingga Jumaat, 7 pagi hingga 8.30 malam.
Sumber: @AskRapidKL via Twitter