Bintang Liverpool, Sadio Mane mendedahkan bahawa kelabnya telah mengambil langkah yang istimewa dan sangat bertolak ansur dengan pemain Muslim ketika Ramadan ini.
Menurutnya, kapten pasukan, Jordan Handerson telah bertemu dengan Jurgen Klopp dan mengemukakan cadangan kepada pengendali Liverpool itu supaya kelab mengubah jadual latihan sedia ada dan memberi ruang kepada pemain yang beragama Islam berpuasa dengan lebih selesa.
Selain Mane, pemain Muslim lain yang turut beraksi bersama Juara Eropah 6 kali itu adalah Mohamed Salah, Naby Keita dan Ibrahima Konate.
Mane turut mendedahkan bahawa berpuasa ketika hari perlawanan adalah lebih sukar berbanding hari-hari biasa, namun beliau gembira kelab sudah melakukan segalanya untuk memudahkan pemain-pemain Muslim berpuasa dengan sebaik mungkin.
Keputusan Klopp untuk bertolak ansur dalam perkara ini nyata tidak dipersiakan oleh Sadio Mane dan rakan-rakan seagama yang lain apabila mereka kekal memberikan yang terbaik di atas padang dan mempersembahkan aksi cemerlang dalam setiap perlawanan.
Malah, prestasi khususnya Mane dan Salah dalam setiap perlawanan berada di tahap tertinggi sepanjang masa di bulan Ramadan dengan masing-masing bergilir-gilir meledak gol. Dalam perlawanan terkini Liga Juara-juara Eropah menentang Villareal pagi tadi (waktu Malaysia), Mane menjaringkan sebiji gol dan Salah menambah satu lagi bantuan gol ke dalam rekod peribadinya. Terdahulu ketika bertemu Manchester United, Mo Salah meledak dua gol dan Mane satu gol.
Dengan Liverpool ketika ini bersaing untuk merebut 3 trofi utama yang masih ditawarkan, Sadio Mane dan Mo. Salah kekal menjadi ayam tambatan kelab bagi memastikan impian quadruple berjaya direalisasikan.
Sumber: Daily Mail