LINDUNG KASIH: Perlindungan Sosial Khas Untuk Suri Rumah
Peranan suri rumah sering dianggap sederhana namun hakikatnya merekalah nadi utama yang memastikan urusan keluarga berjalan lancar setiap hari.
Daripada menjaga anak, menguruskan rumah, menyediakan keperluan harian sehinggalah menjadi penyokong emosi buat suami dan anak-anak.
Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam sektor pekerjaan formal, tugas mereka tetap memerlukan komitmen tinggi serta melibatkan risiko seperti kemalangan domestik, masalah kesihatan dan keuzuran.
Menyedari kepentingan peranan ini, sebuah skim perlindungan khas diperkenalkan bagi memastikan kebajikan suri rumah turut diberikan perhatian dan jaminan yang sewajarnya.
Melalui Skim LINDUNG KASIH di bawah PERKESO, golongan suri rumah kini berpeluang menikmati perlindungan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh sekiranya berlaku insiden tidak dijangka ketika menjalankan tugasan berkaitan rumah tangga.
Skim ini dirangka khusus sebagai jaringan sokongan kewangan dan perubatan. Ianya bukan sahaja untuk melindungi suri rumah malah membantu meringankan beban keluarga sekiranya berlaku bencana domestik, hilang upaya, keuzuran atau kematian.
Inisiatif ini juga dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan terhadap sumbangan besar suri rumah dalam membina kesejahteraan keluarga dan kestabilan sosial.
Dengan kadar caruman yang berpatutan serta manfaat perlindungan yang komprehensif, LINDUNG KASIH menjadi langkah penting ke arah memastikan golongan ini tidak lagi terdedah tanpa jaminan sekiranya ditimpa musibah.
Jika sebelum ini keberadaan mereka jarang diberi perhatian dalam sistem perlindungan sosial kini suri rumah turut menikmati hak keselamatan yang lebih terjamin.
Kadar caruman LINDUNG KASIH
Untuk melayakkan diri menerima perlindungan di bawah skim ini, suri rumah perlu membuat caruman sebanyak RM120 bagi tempoh perlindungan selama 12 bulan.
Bayaran tersebut perlu dijelaskan secara sekaligus bagi meliputi setahun penuh perlindungan. Caruman ini boleh dibayar oleh suami, suri rumah sendiri, ahli keluarga terdekat atau mana-mana pihak ketiga yang ingin menaja bayaran bagi pihak suri rumah.
Bagi suami yang memilih untuk mencarum untuk isterinya, prinsip “once in, always in” akan terpakai. Iaitu caruman perlindungan hendaklah diteruskan bagi tahun-tahun berikutnya supaya kelangsungan perlindungan tidak terhenti dan manfaat skim dapat dinikmati secara berterusan.
Melalui kadar caruman yang rendah dan berpatutan ini, lebih ramai suri rumah berpeluang untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial yang komprehensif tanpa membebankan kewangan keluarga.
Skim ini turut menunjukkan bahawa peranan suri rumah diiktiraf dan diberi nilai melalui penyediaan jaringan perlindungan sekiranya berlaku insiden atau musibah di luar jangkaan.
Faedah perlindungan bencana domestik
Suri rumah yang mengalami kemalangan atau kecederaan semasa melakukan urusan rumah tangga layak menerima beberapa faedah penting. Antaranya:
1. Faedah perubatan
Suri rumah yang mengalami bencana domestik layak mendapatkan rawatan pesakit luar atau rawatan susulan di hospital, klinik atau mana-mana institusi perubatan yang diiktiraf oleh PERKESO.
Segala kemudahan rawatan yang diberikan adalah berdasarkan keperluan semasa serta tahap kecederaan yang dialami. Ia bertujuan untuk memastikan suri rumah menerima rawatan yang sesuai, selamat dan menyeluruh sepanjang tempoh pemulihan.
2. Faedah hilang upaya kekal
Jika suri rumah mengalami kecacatan kekal akibat bencana domestik, mereka layak memohon bayaran Faedah Hilang Upaya Kekal yang diberikan secara sekali gus (lump sum).
Kelayakan dan jumlah bayaran akan ditentukan berdasarkan penilaian pihak penilai perubatan atau keputusan Jemaah Doktor Rayuan. Ianya bagi memastikan setiap permohonan dinilai secara telus dan mengikut tahap keuzuran yang dialami.
3. Elaun layanan sentiasa
Elaun layanan sentiasa dibayar secara bulanan kepada suri rumah yang mengalami hilang upaya kekal atau menerima elaun keuzuran serta memerlukan bantuan fizikal berterusan daripada orang lain untuk menjalankan aktiviti harian.
Bayaran elaun ini akan dihentikan sekiranya suri rumah mencapai usia 55 tahun atau meninggal dunia. Langkah ini bertujuan untuk memastikan perlindungan diberikan selaras dengan keperluan sebenar mereka sepanjang tempoh yang kritikal.
4. Faedah pengurusan mayat
Sekiranya suri rumah meninggal dunia sebelum mencapai umur 55 tahun, waris yang layak akan menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 secara sekali bayar (one-off).
Bayaran ini telah berkuat kuasa mulai 1 Jun 2024 dan bertujuan meringankan beban kewangan waris ketika menguruskan urusan pengkebumian.
5. Kemudahan pemulihan jasmani dan dialisis
Bagi suri rumah yang mengalami kecederaan atau hilang upaya kekal, PERKESO menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu pemulihan sepenuhnya.
Antaranya termasuk program pemulihan jasmani, rawatan dialisis jika diperlukan serta bantuan alat sokongan seperti prostetik atau ortotik.
Semua kemudahan ini diberikan tanpa sebarang kos tambahan setelah disahkan oleh panel perubatan bagi memastikan suri rumah menerima rawatan yang sesuai dan menyeluruh.
6. Pencen penakat
Jika suri rumah meninggal dunia dalam tempoh perlindungan, waris yang layak akan menerima pencen penakat sebanyak RM300 sebulan. Bayaran pencen ini diberikan kepada duda, anak-anak atau ibu bapa sekiranya tiada tanggungan lain.
Tempoh pembayaran ditetapkan mengikut syarat kelayakan termasuk sehingga anak mencecah 21 tahun atau sehingga tamat pengajian ijazah pertama.
Bagi anak yang kurang upaya, bayaran pencen diberikan sepanjang hayat bagi memastikan mereka terus mendapat sokongan yang diperlukan. Bagi duda, bayaran pencen akan dihentikan apabila mencapai umur 55 tahun atau berkahwin semula.
Faedah perlindungan keilatan
Perlindungan ini diberikan kepada suri rumah yang mengalami keuzuran kekal hingga tidak lagi mampu melaksanakan sebahagian besar rutin harian.
Antara faedah yang disediakan termasuk:
Elaun Keuzuran (Bulanan)
Elaun keuzuran layak diterima oleh suri rumah setelah disahkan oleh penilai perubatan atau Jemaah Doktor Rayuan bagi memastikan keadaan keuzuran mereka benar-benar kekal dan memerlukan bantuan.
Elaun ini akan berakhir apabila keuzuran yang dialami suri rumah pulih, mencapai umur 55 tahun atau meninggal dunia selaras dengan keperluan sebenar perlindungan yang diberikan.
Elaun Layanan Sentiasa
Elaun layanan sentiasa diberikan kepada suri rumah yang mengalami keilatan serius dan memerlukan bantuan penjagaan sepenuh masa untuk menjalankan aktiviti harian.
Elaun ini memastikan mereka mendapat sokongan berterusan daripada pihak lain bagi menjaga kesejahteraan dan keselamatan diri sepanjang tempoh keuzuran.
Kemudahan pemulihan dan dialisis
Sama seperti perlindungan bagi bencana domestik, suri rumah yang mengalami keilatan juga layak menerima pelbagai kemudahan perubatan. Antaranya termasuk rawatan pemulihan, alat sokongan perubatan serta rawatan dialisis jika diperlukan.
Kesemua kemudahan ini bertujuan membantu suri rumah menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa dan menyokong proses pemulihan secara menyeluruh.
Faedah pengurusan mayat dan pencen penakat
Sekiranya suri rumah meninggal dunia dalam tempoh perlindungan, waris yang layak berhak menerima bayaran pengurusan mayat sebanyak RM3,000 serta Pencen Penakat sebanyak RM300 sebulan.
Kesemua bayaran ini diberikan mengikut syarat tanggungan yang telah ditetapkan. Ianya bertujuan untuk memastikan keluarga atau waris suri rumah mendapat sokongan kewangan yang sewajarnya selepas kehilangan.
Syarat kelayakan permohonan LINDUNG KASIH
Suri rumah yang ingin mencarum perlu memenuhi syarat berikut:
Warganegara Malaysia atau Pemastautin Tetap
Belum mencapai umur 55 tahun
Berumur bawah 54 tahun ketika pertama kali mencarum
Membayar caruman tahunan RM120 secara pendahuluan
Cara membuat pendaftaran dan tuntutan faedah
Pendaftaran boleh dibuat di mana-mana pejabat PERKESO dengan:
Untuk tuntutan faedah pula, pemohon perlu:
Muat turun borang mengikut jenis faedah
Lengkapkan maklumat beserta dokumen diperlukan
Hantar ke pejabat PERKESO terdekat untuk semakan
Pada masa ini, tuntutan perlu dikemukakan di kaunter bagi tujuan pengesahan. Bagaimanapun, PERKESO sedang menambah baik kemudahan permohonan secara dalam talian dari semasa ke semasa bagi memudahkan proses kepada pemohon.
Oleh itu, peranan suri rumah bukan sekadar menguruskan kerja domestik tetapi turut mempengaruhi kestabilan emosi, keselesaan dan keharmonian keluarga.
Dengan adanya Skim LINDUNG KASIH, golongan ini akhirnya menerima perlindungan sosial yang lebih terjamin sekiranya berlaku musibah atau kejadian tidak dijangka.
Skim ini bukan sahaja melindungi suri rumah tetapi juga memastikan kesejahteraan keluarga terus terpelihara dalam apa jua situasi yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
Jika anda seorang suri rumah atau mempunyai isteri, ibu atau ahli keluarga yang menguruskan rumah sepenuh masa, skim ini merupakan satu bentuk pelaburan perlindungan yang sangat bermakna.
Ia bukan sekadar jaminan kewangan tetapi juga satu penghargaan terhadap pengorbanan dan komitmen mereka dalam membesarkan keluarga.
Dengan langkah pendaftaran yang mudah serta kadar caruman yang berpatutan, LINDUNG KASIH wajar dipertimbangkan sebagai perlindungan penting demi ketenangan dan keselamatan jangka panjang.
Sumber : PERKESO
BACA : 9 Cara Berkesan Hilang Bau Masakan Dalam Rumah