
Lima Tip Guna Semula Bahan Dapur Halau Serangga
Dapur yang kerap dicerobohi semut sering kali menguji kesabaran, terutama ketika menyediakan makanan. Keadaan menjadi lebih meresahkan apabila kehadiran serangga lain seperti lipas dan lalat turut dikesan.
Selain menjejaskan keselesaan penghuni, situasi ini juga boleh mengundang risiko kesihatan akibat penyakit yang dibawa.
Justeru, langkah pencegahan awal amat penting bagi memastikan kebersihan kediaman sentiasa dijaga.
Kali ini, SK kongsikan lima tip mudah yang boleh anda cuba untuk menghalau serangga-serangga ini hanya dengan menggunakan bahan di dapur.
Petua pertama ialah dengan menggunakan air serai untuk menghalau lalat. Kisar beberapa batang serai dan perap selama satu malam.
Tapis dan masukkan air serai ke dalam botol sebagai air semburan. Air serai boleh dijadikan semburan pada permukaan meja atau kawasan dapur setiap kali proses mencuci.
Petua kedua, boleh juga gunakan serbuk kayu manis untuk ditabur di laluan semut bagi mengelakkan semut masuk ke dalam rumah.
Petua ketiga sesuai bagi anda yang suka berkebun. Gunakan campuran cili dan bawang putih untuk menghalau serangga perosak di pokok bunga.
Kisar halus lima ulas bawang putih dan dua cili, bersama dua cawan air. Setelah itu, tapis dan masukkan air ke dalam botol penyembur untuk kegunaan anda.
Ada juga kajian yang menunjukkan keberkesanan penggunaan campuran cili, bawang merah dan bawang putih mampu menjadi penghalau serangga organik.
Petua keempat yang boleh anda cuba ialah dengan menggunakan kulit buah-buahan sitrus. Kulit lemon dan limau didakwa boleh menghalau nyamuk dan semut.
Kadang kala, campuran ini turut mampu menghalau labah-labah.
Kupas kulit dua biji lemon atau limau dan rendam bersama dua cawan air mendidih di dalam mangkuk. Tutup mangkuk, biar selama 24 jam.
Kemudian, tapis dan masukkan air ke dalam botol. Campur suku cawan cuka putih dan goncangkan. Semburan boleh digunakan untuk kebun atau kawasan yang ‘kritikal’.
Petua terakhir sesuai buat peminat kopi. Serbuk kopi yang sudah digunakan sebenarnya masih mempunyai fungsinya.
Bahan ini didakwa mempunyai bau yang kuat sehingga mampu menghalau serangga seperti semut dan siput babi.
Keringkan serbuk kopi terlebih dahulu sebelum ditabur di sekeliling pokok atau kawasan yang menjadi tumpuan semut.
Selamat mencuba.
Sumber: Backyard Boss, Kebun Bandar, Hello Doktor (1) (2)