Sekurang-kurangnya ada seorang saksi dalam kes kematian pelakon cantik Thailand, Tangmo Nida Patcharaveerapong yang ditemui lemas di Sungai Chao Phraya akibat tergelincir daripada bot laju pada 24 Februari lalu berbohong.
Timbalan Komisioner Polis Wilayah 1, Bangkok, Mejar Jeneral Udon Yomcharoen berkata, laporan daripada kelima-lima saksi berkenaan bercanggah mengenai kejadian tersebut itu telah merumitkan siasatan.
Jelasnya kepada Bangkok Post, setiap saksi ditemu bual secara berasingan dan cerita yang mereka sampaikan kepada pihak polis adalah berbeza. Sudah pasti sekurang-kurangnya seorang berbohong.
Udon yang ditugaskan untuk mengendalikan kes itu berkata setakat ini dua pertuduhan telah dibuat.
Jelasnya lagi, pemilik dan pemandu bot laju tersebut didakwa mengendalikan bot tidak berlesen dan kecuaian membawa kepada kematian. Suspek ketiga mungkin didakwa berikutan kenyataan orang lain yang hadir pada kejadian bercanggah dengan penemuan pasukan forensik.
Pihak polis telah menyerbu sebuah kediaman milik salah seorang saksi daripada lima penumpang bot laju dan kini disiasat sama ada minuman keras yang polis temukan ada kaitan dengan kes ini atau tidak, tambahnya lagi.
Jeneral Udon berkata, polis sedang meneliti jejak GPS dan telekomunikasi daripada bot berkenaan tetapi masih belum menemui sebarang bukti punca seksual disebalik kejadian itu mahupun sebarang penggunaan dadah berbahaya untuk hiburan.
Sementara itu, Krissana Sriboonpimsuay yang merupakan peguam yang mewakili ibu mangsa telah meminta Khunying Porntip Rojanasunan, bekas ketua pengarah Institut Sains Forensik Pusat, untuk melakukan bedah siasat baru.
Peguam berkata, beliau akan mendapatkan pertemuan dengan Khunying Porntip untuk mengharapkan kebolehannya berikutan keraguan terhadap bedah siasat yang dijalankan.
Polis kini mengadakan taklimat media harian mengenai perkembangan semasa tentang siasatan kes kematian misteri ini.
Sumber: Bangkok Post