PETALING JAYA, 12 Jan – Kira-kira lima bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara, tiga lelaki kembali dicekup polis kerana disyaki terlibat dengan kes pecah rumah dan curi di sekitar Petaling Jaya, Serdang dan Ampang.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kesemua mereka yang merupakan warga tempatan berumur antara 39 hingga 59 tahun itu ditahan di dua lokasi di sekitar Pudu dan Setapak pada 4 Jan lepas, hasil risikan dan maklumat awam.
Beliau berkata serbuan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 56 tahun yang mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM50,000 selepas rumahnya dipecah masuk pada 25 Dis lepas.
Katanya, modus operandi kumpulan itu menyasarkan kediaman yang tidak berpenghuni pada sekitar 11 pagi hingga 3 petang iaitu sewaktu penghuni rumah keluar bekerja.
“Suspek akan membaling batu atau menekan loceng untuk memastikan rumah tidak berpenghuni sebelum melakukan pecah rumah,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
Mohamad Fakhrudin berkata kumpulan terbabit dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak dua bulan lepas.
Beliau berkata kesemua mereka selesai menjalani hukuman tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) pada Julai 2021 dan mempunyai rekod jenayah lampau iaitu kes dadah, pecah rumah dan curi.
“Penahanan kesemua suspek ini secara tidak langsung telah menyelesaikan lima kes pecah rumah yang dilaporkan pada 2021 iaitu dua di daerah Petaling Jaya, dua di Serdang dan satu di Ampang,” katanya dan menambah mereka direman selama 10 hari hingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut.
Mohamad Fakhrudin berkata polis turut merampas sebuah kereta curi yang dipercayai digunakan kumpulan itu serta pelbagai peralatan pecah rumah, barangan kemas, beberapa keping surat pajak gadai dan peralatan elektronik.
— BERNAMA