Lewis Hamilton Tinggalkan Mercedes, Bakal Sertai Ferrari Tahun Hadapan
Juara Formula 1 (F1) tujuh kali, Lewis Hamilton, 31, sah meninggalkan Mercedes dan menyertai Ferrari pada tahun hadapan.
Perpindahan antara pelumba F1 paling berjaya itu dimaklumkan sendiri oleh kedua-dua pasukan gergasi dalam sukan itu.
“Scuderia Ferrari dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Lewis Hamilton akan menyertai pasukan ini,” kata Ferrari dalam satu kenyataan.
Hamilton akan menggantikan Carlos Sainz selepas kontrak pelumba Ferrari itu tamat pada hujung tahun ini.
Manakala Mercedes pula memaklumkana bahawa Hamilton menggunakan klausa di dalam kontraknya untuk meninggalkan pasukan itu.
“Pasukan F1 Mercedes-AMG Petronas dan Lewis Hamilton akan berpisah pada penghujung musim 2024.
“Hamilton telah mengaktifkan klausa pelepasan dalam kontraknya seperti yang diumumkan pada Ogos tahun lepas,” kata pasukan berkenaan.
Menurut NBC News, perpindahan itu akan menjadi lembaran baharu yang mendebarkan dalam karier Hamilton.
Lebih-lebih lagi dalam misinya untuk memecahkan rekod untuk muncul juara dunia sebanyak lapan kali.
Bersama Ferrari kelak, Hamilton akan berlumba di samping seorang lagi pelumba, Charles Leclerc.
Leclerc baru sahaja menandatangani lanjutan kontrak tahunan dengan pasukan itu minggu lepas.
Berbangga bersama Mercedes untuk tempoh 11 tahun
Sementara itu, Hamilton dalam satu kenyataannya meluahkan rasa bangganya berlumba bersama Mercedes untuk tempoh 11 tahun.
“Saya melalui 11 tahun yang menakjubkan bersama pasukan ini dan saya sangat berbangga dengan apa yang telah kami capai bersama.
“Mercedes telah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak saya berumur 13 tahun.
“Pasukan ini adalah tempat di mana saya menjadi dewasa. Jadi keputusan untuk berpisah dengan Mercedes adalah antara keputusan sukar pernah saya buat.
“Tetapi masanya sudah tiba dan saya teruja untuk menyahut cabaran baru,” katanya.
Hamilton berlumba bersama Mercedes sejak 2013 dan memenangi enam kejuaraan dunia bersama pasukan itu.
Manakala satu lagi kejuaraan dirangkul beliau ketika berlumba bersama McLaren.
Pada 2021, Hamilton tewas dengan perbezaan mata yang kecil dalam merebut kejuaraan kelapannya kepada Max Verstappen daripada Red Bull.
Verstappen kemudian mendominasi musim 2022 dan 2023.
BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Sumber: NBC News