Letupan Masjid Sekolah Jakarta cedera
Gambar: Antara News

Letupan Di Masjid Sekolah Di Jakarta Utara, 54 Mangsa Dilapor Cedera

Iqbal Yasir

Letupan Di Masjid Sekolah Di Jakarta Utara, 54 Mangsa Dilapor Cedera

JAKARTA — Sekurang-kurangnya 54 individu cedera dalam satu insiden letupan yang berlaku di sebuah masjid dalam kompleks Sekolah Menengah Atas Negeri 72 (SMAN 72) di Kelapa Gading, Jakarta Utara, semasa solat Jumaat tengah hari tadi, lapor Antara News.

Perkata itu disahkan oleh Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri.

“Menurut maklumat yang kami terima, sekurang-kurangnya 54 orang (terdiri daripada kalangan pelajar) mengalami kecederaan. Ada yang cedera ringan dan ada juga yang cedera parah.

“Malah ada mangsa sudah dibenarkan pulang,” kata Asep ketika memberikan kenyataan di RS Islam Cempaka Putih, Jakarta Pusat hari ini.

Susulan itu, Pihak polis telah memasang garisan keselamatan (Police Line) dan menjalankan proses nyahbahaya di lokasi kejadian dengan bantuan unit pemusnah bom (Gegana).

Selain itu, dua pusat kawalan (posko) turut dibuka di RS Yarsi dan RS Islam Cempaka Putih bagi membantu keluarga mengesan pelajar yang sedang menjalani rawatan

“Posko ini diwujudkan bagi memudahkan keluarga mendapatkan maklumat berkaitan keadaan anak-anak mereka,” jelas Asep.

Dalam pada itu, Polda Metro Jaya memaklumkan siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar letupan tersebut.

“Kami masih menjalankan siasatan di lokasi kejadian bersama pasukan Gegana kerana prosedur siasatan letupan memerlukan langkah berhati-hati.

“Kita juga perlu memastikan tiada letupan susulan. Punca kejadian masih belum dapat dipastikan,” kata Ketua Bahagian Humas Polda Metro Jaya, Kombes Pol Budi Hermanto.

Sumber: Antara News