kebocoran nord stream direkod
Gambar: Getty Images

Letupan Bawah Air Direkodkan Sebelum Kebocoran Nord Stream

Nurhanis

Institut Seismologi Sweden memaklumkan dua letupan dalam air direkodkan sebelum penemuan tiga kebocoran pada saluran paip Nord Stream yang menghubungkan Rusia dan Eropah.

Lapor AFP, Ahli Seismologi Universiti Uppsala berkata dua ‘pelepasan tenaga besar-besar’ direkodkan Rangkaian Seismik Kebangsaan Sweden berhampiran lokasi gas bocor di luar pantai pulau Bornholm di Denmark.

“Peristiwa pertama berlaku pada 2.03 pagi hanya di tenggara Bornholm dengan magnitud 1.9.

“Kemudian kami juga melihat satu letupan pada 7.04 malam pada Isnin di mana satu lepasan tenaga yang berlaku di utara nampaknya lebih besar. Pengiraan kami menunjukkan magnitud 2.3,” katanya memetik AFP.

Ujarnya dengan pelepasan tenaga sebesar itu tidak lain dan tidak bukan hanya merupakan letupan.

Schmidt turut menjelaskan lepasan tenaga itu sangat mengejut dan perlahan membuatkan peristiwa tersebut kemungkinan besar menyebabkan beberapa jenis letupan berlaku.

Dalam masa yang sama Array Seismik Norway (NORSAR) mengesahkan ia telah mencatatkan letupan yang lebih kecil pada awal pagi Isnin dan diikuti dengan letupan yang kuat pada petang hari yang sama.

Difahamkan, saluran paip Nord Stream 1 dan 2 menjadi pusat ketegangan geopolitik sejak beberapa bulan ekoran Rusia memotong bekalan gas ke Eropah.

Tindakan itu merupakan tindak balas Rusia yang mengesyaki Eropah mengenakan sekatan Barat berikutan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Walaupun saluran paip itu dikendalikan oleh konsortium yang majoritinya dimiliki oleh gas Gazprom milik Rusia, kedua-duanya masih mengandungi gas yang telah bocor sejak Isnin.

Terdahulu, ucapan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah tular ekoran beliau menyentuh mengenai masa depan Nord Stream 2.

Video yang dimuat naik berita antarabangsa ABC News itu meraih perhatian orang ramai susulan Biden berkata tiada masa depan buat projek paip berkenaan sekiranya Rusia nekad menyerang Ukraine.

Sumber: AFP